NASA batalkan pelancaran Artemis I

Lakaran artis menunjukkan Artemis I dilancarkan ke bulan. - Foto Twitter/ NASA
Lakaran artis menunjukkan Artemis I dilancarkan ke bulan. - Foto Twitter/ NASA
A
A
A

LOS ANGELES - NASA sekali lagi membatalkan pelancaran misi kapal angkasa Artemis I pada Sabtu berikutan masalah kebocoran, lapor Xinhua.

Artemis I ialah ujian bersepadu pertama sistem penerokaan angkasa lepas NASA melibatkan kapal angkasa Orion, roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas dan sistem darat.

Percubaan kali kedua di Pusat Angkasa Kennedy, Florida itu sepatutnya diancarkan pada 2.17 petang waktu timur (1817 GMT).

Sebelum ini percubaan kali pertama pada 29 Ogos lalu turut dibatalkan kerana masalah enjin.

"Semasa Artemis I hendak dilancarkan pada Sabtu, masalah kebocoran dikesan berlaku di bahagian penyambungan bekalan ketika cuba memindahkan bahan api ke roket.

"Pasukan cuba menyelesaikan masalah itu tetapi gagal," ciap NASA di Twitter.

Artemis I ialah misi tanpa anak kapal mengelilingi bulan yang akan membuka jalan bagi melaksanakan ujian penerbangan kru dan penerokaan manusia ke bulan pada masa depan.

Misi itu juga ialah sebahagian daripada program lunar Artemis NASA. - Bernama

Artikel Berkaitan: