Peratusan CEO, MD wanita di Malaysia capai 38 peratus

Tengku Zafrul ketika menghadiri majlis sambutan pemerkasaan aspirasi kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman anjuran Kelab 30 peratus Malaysia. - Foto Facebook Tengku Zafrul
Tengku Zafrul ketika menghadiri majlis sambutan pemerkasaan aspirasi kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman anjuran Kelab 30 peratus Malaysia. - Foto Facebook Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Peratusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan (MD) dalam kalangan wanita di Malaysia telah meningkat kepada 38 peratus pada 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu merupakan peratusan tertinggi bagi wanita memegang jawatan berkenaan yang pernah direkodkan di Malaysia.

"Malaysia juga mempunyai peratusan tertinggi Ketua Pegawai Kewangan (CFO) wanita dalam kalangan negara Asia iaitu 34.9 peratus, lebih daripada dua kali ganda purata global.

"Saya juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa Malaysia mempunyai antara peratusan tertinggi ahli lembaga wanita di Asia pada 28.2 peratus, berdasarkan data terkini bagi 100 Syarikat Senaraian Awam (PLC) teratas," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau turut berkongsi mengenai program 'Gender Responsive-Budgeting-In-Practice' (GRBiP) yang dilancarkan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Engender Consultancy and Women’s Aid Organisation (WAO) bagi memberi lebih banyak peluang kepada kaum wanita di dalam pelbagai bidang.

"Kerajaan juga telah melancarkan beberapa inisiatif untuk menggalakkan pemerkasaan wanita termasuk inisiatif melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita untuk semua syarikat tersenarai awam dan sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita dalam syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan pemerkasaan aspirasi kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman anjuran Kelab 30 peratus Malaysia.

Kelab tersebut merupakan kempen untuk meningkatkan penyertaan wanita sehingga 30 peratus dalam lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat.

Artikel Berkaitan: