Agong zahir penghargaan kejayaan sambutan Hari Kebangsaan

Al-Sultan Abdullah ketika menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu.
Al-Sultan Abdullah ketika menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi penghargaan kepada kerajaan, peserta dan penganjur atas kejayaan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka di sini pada 31 Ogos lepas yang disempurnakan dengan rapi dan cemerlang.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ucapan tahniah dan penghargaan itu turut ditujukan khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.

Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan sambutan itu bertitah, semangat perpaduan, patriotisme dan cintakan negara yang dipamerkan oleh rakyat pada sambutan berkenaan dan sambutan yang telah dianjurkan di seluruh negara adalah sangat membanggakan.

"Seri Paduka juga amat kagum menyaksikan persembahan yang telah ditunjukkan oleh semua kontinjen agensi kerajaan dan murid-murid sekolah yang telah mengambil bahagian di majlis tersebut.

"Semangat kenegaraan dan cintakan negara yang telah dipamerkan oleh mereka, khususnya murid-murid sekolah yang terdiri daripada pelbagai peringkat persekolahan dan kaum adalah sewajarnya dipuji dan dicontohi," kata Ahmad Fadil dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa sukacita dan setinggi penghargaan kepada rakyat yang telah datang memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar untuk menyertai dan secara berdisiplin menonton sambutan hari yang bersejarah itu, yang dilaporkan melebihi jangkaan 50,000 orang.

Seri Paduka menzahirkan harapan semoga semangat tersebut, yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum di negara memperkukuh lagi keharmonian negara.

"Baginda turut menzahirkan harapan agar ia juga dipamer dan diteruskan dalam memperingati dan meraikan Hari Malaysia pada 16 September kelak," kata Ahmad Fadil. - Bernama

Artikel Berkaitan: