KDA FC Menang, tapi masih ada kelemahan

Pemain Sang Kenari meraikan jaringan gol Ngah Wanja (empat kanan) membantu KDA FC mengatasi Penang FC 1-0 pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Pemain Sang Kenari meraikan jaringan gol Ngah Wanja (empat kanan) membantu KDA FC mengatasi Penang FC 1-0 pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
A
A
A

KEJAYAAN mengatasi Penang FC 1-0 pada aksi derbi utara Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada Jumaat memberikan suntikan motivasi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC namun beberapa kelemahan masih perlu diperbaiki jika mahu terus memburu kemenangan pada perlawanan seterusnya.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya masih perlu memberikan tumpuan untuk meningkatkan kualiti penyudah gol kerana beberapa peluang keemasan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Menurutnya, tumpuan lewat permainan juga perlu dipertingkatkan oleh anak-anak buahnya terutamanya semasa diasak oleh pasukan lawan bagi memastikan mereka tidak berputih mata pada saat akhir.

"Syukur tiga mata ini sangat penting kepada kami. Kedua-dua pasukan memberikan aksi yang terbaik sehingga ke wisel terakhir dan penyudah untuk menjaringkan gol sahaja yang membezakannya.

"Pemain masih lagi perlu belajar kerana peluang sudahpun terhidang melalui Fayadh Zulkifli dan Dechi Marcel namun gagal dimanfaatkan. Kami juga turut melakukan kesilapan sehingga memberikan tekanan kepada diri sendiri untuk Penang FC mengasak memburu gol.

"Tiga mata ini mampu meningkatkan lagi motivasi pemain untuk menghadapi Melaka United FC di laman lawan," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Ronald Ngah Wanja muncul wira Sang Kenari apabila menjaringkan gol tunggal selepas melakukan larian solo menewaskan seorang pertahanan Penang FC sebelum meledakkan gol pada minit ke-56.

Pada pusingan pertama Liga Super 2022, KDA FC juga berjaya mengatasi Penang FC 1-2 di Stadium Bandaraya dan menyaksikan Sang Kenari menang dua aksi derbi utara liga super musim ini.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan tersebut menyaksikan KDA FC kekal di tangga ketujuh dengan 21 mata selepas 15 perlawanan manakala Penang FC di dasar liga super dengan tujuh mata selepas 17 perlawanan.