Setahun cari buku tapi tak jumpa

Orang ramai yang mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Orang ramai yang mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Hampir setahun seorang peniaga yang berusaha mendapatkan buku Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu: Perlunya Pergerakan Transformasi Moral-Etika karya Tan Sri Mohd Kamal Hassan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membeli buku tersebut di Jualan Gudang Karangkraf di sini.

Menurut Mohamad Norzaidi Abu Nawar, 69, dia mencari buku itu di beberapa tempat, namun tidak menjumpainya.

Bercerita tentang hobinya, Mohamad Norzaidi berkata, dia suka membaca.

“Sejak 15 tahun lalu, memang saya minat membaca. Hampir semua jenis bahan bacaan saya baca tetapi antara genre saya suka adalah berkisarkan sejarah dan geografi. Saya suka membaca kerana antara sebabnya dapat menambahkan ilmu.

“Antara buku terbitan Kumpulan Karangkraf terbaharu yang saya pernah beli ialah Ada Apa Dengan Nama Nazir Razak karya Tan Sri Nazir Razak yang juga merupakan adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang berlangsung dari 26 Ogos hingga 4 September ini di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam di sini, kali kedua dianjurkan tahun ini.

Siti Mazlifah
Siti Mazlifah

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Siti Mazlifah Md Hashim,53, berkata, minatnya terhadap bahan bacaan seperti novel membuatkan dia sanggup datang bersama keluarganya ke jualan gudang tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Memang banyak jenis novel yang saya baca, antaranya karya Siti Rosmizah seperti 7 Hari Mencintaimu dan juga Ranjau Sepanjang Jalan hasil penulisan sasterawan negara, Datuk Shahnon Ahmad.

“Antara sebab saya suka membaca novel adalah kerana nak melihat dan mendalami gaya penulisan yang digarap oleh penulis memandangkan saya merupakan seorang pelajar aliran sastera sewaktu sekolah menengah dahulu,” katanya.

Kata suri rumah itu lagi, hobi suka membaca itu bukan sahaja begitu menebal dalam dirinya, malah turut diwarisi oleh anak-anaknya.

Jualan Gudang Karangkraf yang berlangsung selama 10 hari bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan serendah RM1 selain diskaun sehingga 80 peratus.

Pengunjung yang hadir juga berpeluang menikmati diskaun seperti promosi kombo tujuh buku berharga RM20.