Maut dilanggar ketika pasang kabel TM

Seorang pekerja TM maut selepas dilanggar sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 9.5 Jalan Pantai berdekatan Hospital Port Dickson awal pagi Jumaat.
Seorang pekerja TM maut selepas dilanggar sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 9.5 Jalan Pantai berdekatan Hospital Port Dickson awal pagi Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pekerja kontrak yang sedang memasang kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) maut selepas dilanggar lari sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 9.5 Jalan Pantai berdekatan Hospital Port Dickson di sini pada awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, mangsa, Faizal Taha, 35, yang mengalami cedera parah dilaporkan meninggal dunia selepas satu jam dirawat di Zon Merah, Hospital Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah Proton Wira berwarna biru dipandu secara laju dan melulu dari arah Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.

"Pemandu Proton Wira itu telah merempuh dua papan tanda dan beberapa kon yang dipasang di lorong kanan sebelum melanggar mangsa yang sedang memasang kabel TM.

"Pemandu itu kemudian telah melarikan diri ke arah Bulatan Sunggala," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Keadaan kereta dipandu suspek selepas terlibat dalam kemalangan. Gambar kecil: Suspek
Keadaan kereta dipandu suspek selepas terlibat dalam kemalangan. Gambar kecil: Suspek

Menurutnya, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Port Dickson, namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.15 pagi setelah menerima rawatan di Zon Merah.

Jelas Aidi Sham, susulan daripada kejadian itu suspek lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pemandu Proton Wira berjaya ditahan pada jam 12 tengah hari pada Jumaat di Bandar Sunggala di sini.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987," katanya.