MBI lancar Buku Panduan Integriti usaha perangi rasuah

Amirudin (tengah) bersama kakitangan MBI, SPRM Selangor, wakil anak-anak syarikat Selangor serta rakan perniagaan dan vendor di bawah agensi tersebut.
Amirudin (tengah) bersama kakitangan MBI, SPRM Selangor, wakil anak-anak syarikat Selangor serta rakan perniagaan dan vendor di bawah agensi tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor melancarkan Buku Panduan Integriti sebagai salah satu usaha agensi tersebut untuk memerangi gejala rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norita Mohd Sidek berkata, pengukuhan sistem dalaman sesebuah organisasi adalah penting bagi berdepan sebarang risiko dalam aspek pengurusan seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Beliau berkata, MBI mengorak langkah ke depan dengan melancarkan sistem integriti dan tadbir urus yang memfokuskan kepada enam polisi berkaitan perkara berkenaan serta pengisytiharan harta.

Menurutnya, usaha bagi menerapkan budaya integriti perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memantapkan elemen berkenaan khususnya dalam rantaian MBI sendiri.

"Menyedari pemupukan (budaya) kerja berintegriti bukan di bawah (tanggungjawab) MBI, kerajaan Selangor dan pihak SPRM semata-mata, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemegang taruh serta rakan perniagaan.

"MBI akan maju setapak lagi dalam usaha meningkatkan tadbir urus dan amalan kerja beretika menerusi ikrar bebas rasuah bersama rakan perniagaan dan vendor kami.

"Setiap rakan perniagaan dan vendor akan dibekalkan dengan buku tersebut secara digital yang merangkumi enam polisi tersebut sebagai panduan dan rujukan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ikrar Rasuah Rakan Perniagaan MBI dan Pelancaran Buku Panduan Integriti di Dewan Raja Muda Musa (DRMM), di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan MBI melafazkan ikrar bebas rasuah dalam Majlis Ikrar Rasuah Rakan Perniagaan MBI dan Pelancaran Buku Panduan Integriti di Dewan Raja Muda Musa (DRMM), di sini pada Khamis.
Kakitangan MBI melafazkan ikrar bebas rasuah dalam Majlis Ikrar Rasuah Rakan Perniagaan MBI dan Pelancaran Buku Panduan Integriti di Dewan Raja Muda Musa (DRMM), di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan turut dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Norita berkata, usaha MBI sebagai satu langkah tegas untuk menjamin keselamatan semua pihak termasuk anak syarikat, rakan niaga dan vendor yang berurusan dengan agensi tersebut.

"Anggota pentadbiran kerajaan Selangor, anak syarikat termasuk ahli-ahli lembaga pengarah harus menitikberatkan nilai kewibawaan dan kecekapan sebagai landasan untuk perniagaan dan urus tadbir serta perjalanan kehidupan.

"Ia bagi memastikan setiap urusniaga dan urusan yang dilaksanakan berdasarkan aspek integriti," katanya.

Turut hadir ke program berkenaan ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim.

Norita (dua dari kiri), Amirudin (tengah) dan Alias (kanan) menunjukkan replika Buku Panduan Integriti di Dewan Raja Muda Musa (DRMM), di sini pada Khamis.
Norita (dua dari kiri), Amirudin (tengah) dan Alias (kanan) menunjukkan replika Buku Panduan Integriti di Dewan Raja Muda Musa (DRMM), di sini pada Khamis.

Katanya, inisiatif yang ditunjukkan oleh MBI dan warga kerjanya secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab memerangi rasuah yang berleluasa dalam negara.

"Sesebuah organisasi amat memerlukan warga berintegriti bagi memastikan ketelusan pelaksanaan pengurusan hariannya di peringkat individu.

"Perlu benar-benar jujur dan sanggup berikrar dengan hati dan lisan untuk bebas daripada sebarang pengaruh yang boleh meruntuhkan nilai integriti seperti terlibat dengan rasuah.

"Usaha-usaha membanteras rasuah bukan tanggungjawab SPRM semata-mata, tapi ia amanah yang perlu digalas oleh seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan negara dicintai ini bebas serta bersih daripada segala gejala dan salah guna kuasa," katanya.

Majlis turut menyaksikan lebih 1,000 rakan perniagaan MBI melafazkan ikrar bebas rasuah bagi menerapkan budaya kerja berintegriti dalam sistem rantaian perniagaan yang melibatkan agensi tersebut.

Bacaan ikrar berkenaan diketuai Ketua Tadbir Urus MBI Selangor, Anas Sulaiman.