Hari Kebangsaan meriah, bukti cinta Keluarga Malaysia

Warga Keluarga Malaysia hadir bagi memeriahkan dan menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022. - Foto Bernama
Warga Keluarga Malaysia hadir bagi memeriahkan dan menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Kebangsaan 2022 yang diraikan penuh meriah di Dataran Merdeka pada Rabu menyaksikan seluruh Keluarga Malaysia daripada pelbagai bangsa dan peringkat usia menzahirkan rasa kecintaan terhadap tanah air.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, aspirasi Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya merealisasikan erti keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang jelas dapat dilihat melalui gelora sambutan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan mewakili kementerian mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas komitmen semua jawatankuasa kerja daripada pelbagai kementerian serta agensi, Angkatan Tentera Malaysia, pasukan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta lebih 20,000 peserta yang menjayakan acara perbarisan dan perarakan tahun ini.

"Saya juga mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kehadiran segenap lapisan masyarakat yang di luar jangkaan iaitu melebihi 100,000 orang yang datang seawal 4 pagi dari jauh dan dekat ke Dataran Merdeka.

"Sambutan kali ini diadakan secara besar-besaran setelah dua tahun Hari Kebangsaan disambut dalam skala kecil akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara. Sambutan turut diadakan secara serentak pada pagi 31 Ogos di seluruh negara dengan kerjasama semua kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. - Bernama

Artikel Berkaitan: