Azalina sah letak jawatan Penasihat Khas Undang-Undang PM

A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sah meletakkan jawatannya sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Khamis.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Azalina telah menghantar surat peletakan jawatannya itu pada Isnin.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerima peletakan jawatan

Beliau (Azalina) dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September.

“Ismail Sabri mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Pada Selasa, sumber mendakwa bahawa Azalina telah meletakkan jawatan sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu tular di Twitter, Azalina telah meletakkan jawatan berkenaan, namun laporan sebuah portal menafikan perkara itu dengan memetik sumber terdekat UMNO.

Azalina dilantik ke jawatan berkenaan pada pada 2 Oktober 2021.

Surat pelantikan itu diserahkan oleh Ismail Sabri.

Azalina dilantik ke jawatan tersebut selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos 2021 atas beberapa alasan.