Johor perlu bentang segera Enakman Anti Lompat Parti

Chin Tong
Chin Tong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor digesa membentang dan meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) segera.

Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong berkata, tindakan itu perlu dilakukan secepat mungkin berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan pada bila-bila masa.

"Kami Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan PH dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, menyeru supaya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi segera mencadangkan Enakmen Anti Lompat Parti di DUN bagi membolehkan ia diluluskan sekali gus dikuatkuasakan di negeri ini.

"Jurutulis DUN Johor, Zainal Eran juga secara rasminya memaklumkan semua ADUN bahawa Sidang Dewan Negeri Johor untuk sehari akan berlangsung pada 22 September ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Chin Tong, sidang DUN September lazimnya adalah untuk meluluskan belanjawan tambahan dan usul spesifik namun PH belum lagi dimaklumkan tentang agenda kerajaan negeri untuk sidang yang akan datang.

"Memandangkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah masing-masing meluluskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti pada 28 Julai dan 9 Ogos lalu, kerajaan Johor haruslah mencadangkan enakmen yang sama di peringkat negeri secepat mungkin," katanya.

Chin Tong berkata, bagi menjayakan enakmen larangan lompat parti di peringkat negeri, satu sidang DUN perlu diadakan segera bagi menyokong isu berkenaan.

Dalam pada itu, Chin Tong yang juga ADUN Perling berkata, dalam manifesto Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, satu daripada 'Ikhtiar' menerusi 'Reformasi Politik' menyenaraikan untuk memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti.

Artikel Berkaitan:

"Janji BN kepada rakyat Johor dalam PRN mesti ditepati.

"Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah memberi jaminan bahawa semua negeri yang dipimpin oleh UMNO dan BN akan meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti.

"Maka, kami ADUN Johor daripada PH dan Muda, sekali lagi meminta dan menyeru Menteri Besar untuk mencadangkan rang Enakmen Anti Lompat Parti di sidang Dewan Negeri pada 22 September nanti," katanya.

Pada 16 April lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, kerajaan Johor akan memperhalusi dan melaksanakan Enakmen Anti Lompat Parti di negeri itu.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu akan diperhalusi bersama ADUN Johor.