Keluarga Malaysia perlu bersatu padu pertahan keharmonian: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir wawancara radio Nasionalfm sempena program Inspirasi Setahun #KeluargaMalaysia Teguh Bersama di Wisma Radio, Angkasapuri, pada Rabu. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir wawancara radio Nasionalfm sempena program Inspirasi Setahun #KeluargaMalaysia Teguh Bersama di Wisma Radio, Angkasapuri, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keluarga Malaysia perlu terus kekal bersatu padu dan mempertahankan keharmonian dalam semua aspek sebagai rencah utama kestabilan negara kata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Keluarga Malaysia antara lain, perlu meraikan perbezaan antara mereka serta menjadikannya sebagai satu kelebihan dan terus merapatkan hubungan kekeluargaan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita mesti terus kekal bersatu. Itulah rencah paling penting untuk kestabilan negara daripada apa sahaja pun termasuk politik.

Jangan jadikan perbezaan itu sesuatu yang boleh merenggangkan hubungan kita,” katanya pada sesi wawancara radio Nasionalfm sempena program Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia Teguh Bersama di Wisma Radio RTM di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Selain itu dalam wawancara kira-kira 45 minit itu, Ismail Sabri sempena sambutan Hari Kebangsaan hari ini berkata Keluarga Malaysia perlu mengekalkan jati diri dengan memastikan mereka bebas daripada penjajahan minda dan budaya.

"Kekalkan diri kita sebagai individu yang benar-benar merdeka kerana penjajahan baharu bukan dalam bentuk fizikal seperti dahulu tetapi penjajahan baharu adalah melalui penjajahan minda dan budaya. Kita mesti kekalkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada K-KOMM selaku Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 kerana berjaya menganjurkan sambutan pada hari ini dengan sangat cemerlang.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, sambutan yang sangat meriah hari ini, saya tengok dari segi pertunjukan dan perarakan memang sangat baik sekali," katanya.

Beliau turut menzahirkan perasaan terharu dengan semangat yang dipamerkan Keluarga Malaysia yang sejak malam tadi memenuhi pekarangan Dataran Merdeka untuk turut serta dalam sambutan itu.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada semua kontinjen yang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan yang mempamerkan kesungguhan mereka pada acara sambutan itu.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, Ismail Sabri berkata, kemeriahan yang ditunjukkan pada sambutan Hari Kebangsaan hari ini jelas membuktikan seluruh Keluarga Malaysia mempunyai semangat dan nilai patriotisme tinggi.

"Sungguh meriah sekali, lebih 100,000 Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa hadir meraikannya.

Saya pasti ramai yang datang seawal pagi untuk melihat acara perbarisan dan perarakan oleh pelbagai kontinjen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia serta pertunjukan terbang lintas pesawat udara," katanya. - Bernama