Pengalaman manis 30 pelatih MAB bonceng Harley Davidson

Para peserta cacat penglihatan bersedia bagi acara pelepasan Program Konvoi Merdeka ‘Kibar Jalur Gemilang’ sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Kompleks MAB pada Rabu. - Foto Bernama
Para peserta cacat penglihatan bersedia bagi acara pelepasan Program Konvoi Merdeka ‘Kibar Jalur Gemilang’ sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Kompleks MAB pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seramai 30 pelatih lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan Persatuan bagi Orang Buta (MAB) berpeluang merasai pengalaman manis membonceng motosikal berkuasa tinggi menerusi program ‘Konvoi Kibar Jalur Gemilang’ sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu.

Konvoi yang membabitkan 65 buah motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab Route 77 Harley Davidson itu, berlepas dari pekarangan Kompleks MAB di sini pada jam 9.30 pagi menuju ke Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Seorang peserta, Mohamad Nor Don, 32, berkongsi rasa teruja dapat menyertai konvoi tersebut lebih-lebih lagi ini merupakan pengalaman pertamanya membonceng motosikal berkuasa tinggi.

"Alhamdulilah ini pertama kali saya menaiki motosikal besar, rasanya lagi selesa dan lebih selamat sebab boleh menyandar berbanding motosikal biasa.

"Saya juga gembira dapat mengikuti program ini sekali gus membuatkan saya berasa turut terlibat sebagai ahli Keluarga Malaysia dalam meraikan Hari Kebangsaan ini,” katanya kepada pemberita di Kompleks MAB di sini.

Amirul Faiz Alias, 26, pula berkata, walaupun penglihatannya kabur, dapat merasai tiupan angin ketika membonceng motosikal berkenaan memberi pengalaman bermakna buatnya.

"Seronok dapat membonceng motosikal besar apatah lagi apabila mendengar deruman enjinnya, rasa teruja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas berkata konvoi yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pengalaman baharu kepada sebahagian pelatih MAB untuk merasai sendiri membonceng motosikal berkenaan sempena hari bersejarah ini.

"Selain dapat membonceng motosikal mereka juga berpeluang beramah mesra bersama orang awam setibanya di Amcorp Mall, sekali gus memberi kesedaran tentang OKU cacat penglihatan,” katanya
Artikel Berkaitan:


Seorang penunggang motosikal Kelab Route 77 Harley Davidson, Mohd Khaidzir Shahari, 51, turut melahirkan rasa gembira apabila dapat menunaikan hasrat pelatih MAB untuk membawa mereka berkonvoi sekitar ibu negara sempena Hari Kebangsaan ini.

"Penyertaan dalam konvoi ini membuatkan saya rasa sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana ada sumbangan saya kepada komuniti.

"Saya tidak pernah terfikir untuk bawa anak-anak OKU ini, tetapi apabila saya merasai sendiri pengalaman bersama mereka saya teringin untuk adakan program ini sekali lagi, " katanya. - Bernama