Standard dan akreditasi tonggak infrastruktur kualiti negara

JSM sediakan ekosistem bagi pertumbuhan ekonomi negara

Warga kerja JSM meraikan ulang tahun ke-26 JSM pada acara jelajah Sinar Rovers yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Ahad.
Warga kerja JSM meraikan ulang tahun ke-26 JSM pada acara jelajah Sinar Rovers yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Ahad.
A
A
A

Jabatan Standard Malaysia (JSM) akan terus memainkan peranannya bagi memastikan perkhidmatan standardisasi dan akreditasi kekal relevan meliputi pelbagai bidang di Malaysia selari dengan perubahan semasa dan masa depan.

Ketua Pengarah JSM, Shaharul Sadri Alwi berkata, kemajuan dalam bidang standardisasi dan akreditasi di Malaysia amat penting bagi menjamin kelestarian dan kualiti keseluruhan industri di dalam negara termasuk pengguna.

Justeru katanya, JSM yang menyambut ulang tahun ke-26 tahun ini telah merangka aktiviti standardisasi dan akreditasi mengikut beberapa polisi penting seperti pelaksanaan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

No Image Caption

“Ini penting supaya ianya dapat menyokong aktiviti lain sejajar dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).

“Jika kita ketinggalan untuk melaksanakan langkah ini, ia akan menjejaskan infrastruktur kualiti negara yang melibatkan pihak industry dan pihak yang mengawal selia contohnya dalam isu alam sekitar yang secara langsung memberi kesan kepada pengguna.

“Jadi, kita sedang giat memajukan bidang standardisasi dan akreditasi supaya selaras dengan prinsip yang digariskan di peringkat antarabangsa,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ulang tahun ke-26 JSM yang jatuh pada Ahad itu turut diraikan bersama penganjuran acara jelajah Sinar Rovers di Kompleks Karangkraf di sini.

Jelasnya, langkah pembangunan Malaysian Standard (MS) lebih mampan di dalam negara ketika ini diselia oleh Jawatankuasa Standard Kebangsaan yang turut memantau keseluruhan usaha itu antaranya membabitkan aspek kelestarian dan ekonomi sikular. Katanya, langkah itu juga melibatkan amalan baik di peringkat antarabangsa termasuk mendapatkan pandangan daripada pakar di seluruh negara.

Perkhidmatan kredibel

Menurut Shaharul, perkhidmatan standardisasi dan akreditasi perlulah sentiasa kredibel agar produk dan perkhidmatan bukan sahaja dapat memberi manfaat di peringkat domestik malah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Satu contoh Malaysian Standard (MS) yang turut dirujuk oleh negara lain ialah MS berkaitan Halal. Di peringkat antarabangsa, kita dipandang tinggi kerana MS tersebut tidak hanya meliputi makanan.

“Ia turut membabitkan bidang farmaseutikal, logistik dan peranti perubatan. Ini merupakan antara pencapaian besar yang kami peroleh di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Selain itu, kejayaan lain yang dicapai JSM sepanjang 26 tahun termasuklah membangunkan lebih daripada 8,000 MS.

“Kita juga sedang dalam proses membangunkan MS antaranya berkaitan dengan ekonomi sikular,” jelas Shaharul.

Menurutnya, MS yang dibangunkan oleh JSM menjadi rujukan dan panduan penting oleh badan penguat kuasa dan pengawal selia meliputi pelbagai sektor antaranya adalah makanan, komoditi, keselamatan jalan raya dan pengurusan alam sekitar.

Jelasnya, JSM juga berjaya mengakredit empat badan pensijilan di bawah program Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) iaitu SIRIM QAS International Sdn. Bhd. United Certification Services Sdn. Bhd. NIOSH Certification Sdn. Bhd. dan Trans Certification International Sdn Bhd bagi memastikan sesuatu organisasi mempunyai tadbir urus, integriti serta kecekapan perkhidmatan yang baik.

“Sehingga tahun ini, kita telah berjaya akredit lebih 1,000 badan penilaian pematuhan di seluruh negara.

“Proses ini melibatkan penilaian dan pengesahan tenaga pakar daripada JSM, contohnya dari segi kecekapan dan kepakaran sama ada untuk makmal, badan pensijilan atau badan pemeriksaan,” katanya.

REAKSI

No Image Caption

JSM telah berjaya membangunkan sistem MySOL bagi pencarian dan pembelian dokumen MS. Kami harap sistem ini dapat memudahkan pihak dari Malaysia atau luar negara membuat carian atau pembelian MS.” - Penolong Pegawai Teknologi Maklumat JSM, Yuhaniq Kasim

No Image Caption

JSM sangat relevan pada masa ini bagi perkhidmatan standardisasi dan akreditasi di Malaysia. Masyarakat juga mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.” - Pegawai Teknologi Maklumat JSM, Nurul Farahiyah Mohd Ali

No Image Caption

“JSM sentiasa menekankan kepentingan tadbir urus dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan. Untuk itu, JSM telah bangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) sebagai pelan jangka panjang selain menyokong Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.” - Ketua Unit Komunikasi Strategik JSM, Ahmad Razif Abd Rahim