Ruiz berhijrah ke PSG

Ruiz mengikat kontrak selama lima tahun bersama PSG. - Foto Agensi
Ruiz mengikat kontrak selama lima tahun bersama PSG. - Foto Agensi
A
A
A

JUARA Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mengikat pemain tengah Sepanyol, Fabian Ruiz dari Napoli dengan kontrak lima tahun.

Kelab Ligue 1 itu awal pagi Rabu memaklumkan Ruiz merupakan pemain kelima ditandatangani pada musim panas ini.

Ruiz bakal memperkuatkan lagi bahagian tengah mereka selepas kehadiran dua pemain Portugal, Vitinha dan Renato Sanches.

"Saya gembira menyertai Paris Saint-Germain. Ia perasaan hebat bagi saya untuk memulakan satu lagi peringkat baharu dalam karier di negara ini.

"Saya bangga menyertai salah satu kelab terhebat di Eropah dan beraksi bersama pemain terbaik dunia. Ia benar-benar cabaran menarik," ujar Ruiz dalam laman web kelab.

Pemain berusia 26 tahun itu beraksi selama empat musim dengan Napoli dan menjuarai Piala Itali pada 2020.

Bekas pemain Real Betis itu juga antara anggota skuad Sepanyol yang mara ke separuh akhir Euro 2020 dan mempunyai 15 kap bersama skuad kebangsaan.

Artikel Berkaitan: