Lebih 27,000 tandatangan petisyen sokong Najib, 117,000 bantah

A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 27,000 tandatangan diterima menerusi Petisyen Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak setakat jam 7 malam Selasa.

Jumlah itu melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 25,000 tandatangan sejak ia dilancarkan pada Jumaat lalu.

Justeru, petisyen hasil inisiatif BNComms Selangor di platform change.org itu kini meningkatkan sasaran mereka kepada 35,000 tandatangan.

Petisyen tersebut merupakan usaha bagi memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sementara itu, satu lagi petisyen iaitu Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pula mencatatkan lebih 117,000 tandatangan pada tempoh yang sama.

Petisyen berkenaan dilancarkan sejak 24 Ogos lalu, iaitu sehari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib dalam perbicaraan kes SRC.

Menerusi petisyen tersebut, ia menyasarkan 150,000 tandatangan bagi memastikan tiada pengampunan diberikan terhadap Najib.

Dalam petisyen itu, Bersih memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa untuk mengurniakan keampunan kepada Najib agar ia dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang cuba menyalahgunakan kuasa mereka.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Najib telah disabitkan bersalah pada 28 Julai 2020 bagi kesemua pertuduhan dalam kes tersebut oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali Mohd Nazlan.

Ia membabitkan kesalahan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan yang digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan yang digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).