Malaysia-UAE perkukuh kerjasama dalam sekuriti makanan

Malaysia dan UAE sedia memperkukuhkan lagi kerjasama diplomasi sekuriti makanan antara kedua-dua negara. - Foto AFP
Malaysia dan UAE sedia memperkukuhkan lagi kerjasama diplomasi sekuriti makanan antara kedua-dua negara. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedia memperkukuhkan lagi kerjasama diplomasi sekuriti makanan antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Selasa.

MAFI dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dibincangkan pada pertemuan dua hala antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dengan Menteri Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE, Mariam Mohammed Saeed Hareb Almheiri, yang diadakan sempena lawatan kerja Ronald selama tujuh hari ke Arab Saudi dan UAE bermula 24 Ogos lepas.

Selain itu, pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan (G2G) secara bilateral turut dibincangkan secara lanjut bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor pertanian kedua-dua negara yang telah wujud melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan UAE bagi Kerjasama Diplomasi Sekuriti Makanan, sejak 10 Mac 2021.

"Untuk rekod, jumlah nilai dagangan pertanian antara kedua-dua negara telah meningkat daripada RM1.14 billion pada 2020 kepada RM1.51 billion pada 2021,” menurut MAFI.