Wanita warga asing mangsa pemerdagangan orang diselamatkan

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis menyelamatkan seorang wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah rumah di sekitar Taman Pasir Putih di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berusia 34 tahun yang memaklumkan bahawa mangsa telah meminta bantuan kerana dipercayai dikurung oleh jiran pengadu pada jam 11.45 pagi.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam membuat pemeriksaan dan menyelamatkan mangsa yang didapati telah dikurung dalam keadaan pintu rumah itu berkunci dengan mangga dari luar kira-kira jam 1.30 petang Isnin.

"Susulan penemuan mangsa, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan di dua lokasi berasingan sekitar Pasir Gudang selain merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, kira-kira jam 3.30 petang hingga 9.42 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua individu yang berusia 36 dan 38 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Mohd Sohaimi berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dijanjikan bekerja sebagai pembantu rumah, namun dikurung sementara bagi mendapatkan pekerjaan tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

"Kedua-dua mereka kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama lima hari bermula hari ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: