Bukan semua kerja perlu ditunjuk di media sosial: RMS

Tengku Amir Shah
Tengku Amir Shah
A
A
A

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan dakwaan tidak memainkan peranan dalam membantu memulihkan semula prestasi Selangor FC.

Tengku Amir Shah yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberitahu tidak semua gerak kerja yang dilakukannya perlu ditunjuk di media sosial.

“Beta ingin tegaskan bahawa tidak semestinya gerak kerja beta di kelab perlu dipertontonkan dan dipamerkan di media sosial.

”Untuk pengetahuan semua, setiap keputusan teknikal dan keputusan kelab yang penting adalah berteraskan hala tuju yang beta telah tetapkan berasaskan perkenan dari beta sendiri.

“Keputusan-keputusan ini dibuat berdasarkan pemerhatian Beta dan juga melalui siri perbincangan terperinci bersama Pengarah Sukan, Ahli Lembaga Pengarah dan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan,” jelas baginda dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tengku Amir Shah berkata, dirinya dan pihak pengurusan Selangor memberi jaminan akan segera memulihkan prestasi Selangor selepas sudah mengenal pasti kekurangan pasukan yang perlu diperbaiki secara terperinci.

“Beta bersama pihak pengurusan sudah mula menangani isu-isu tersebut dan telah memulakan gerak kerja untuk musim hadapan yang akan disusuli dengan beberapa pelantikan teknikal yang baharu.

“Ini termasuklah dengan melantik Pengarah Sukan, Pengarah Teknikal, bahagia kejurulatihan, serta langkah-langkah lain yang perlu diambil untuk memperkuatkan pasukan utama Selangor FC.

Artikel Berkaitan:

“Proses ini sudah mula berjalan dan beberapa pengumuman penting akan diadakan dari masa ke semasa. Beta juga tidak akan berputus asa dan tetap komited untuk membawa Kelab ini ke peringkat yang tertinggi,” katanya.

Tengku Amir Shah turut menyeru penyokong Selangor terus bersatu, dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur-unsur luar yang tidak tepat dan ingin memecahkan belahkan pasukan.

“Beta ingin tegaskan dan memberi jaminan bahawa tidak pernah ada parasit dalam pengurusan.

“Ini adalah saat kita memerlukan sokongan yang positif, membina dan tidak berbelah bahagi daripada semua agar kita dapat bersama membantu pasukan kesayangan ini bangkit semula,” katanya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, RMS turut memberi perkenan surat peletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Izhar Moslim bertarikh 7 Julai 2022.

Baru-baru ini, Beta telah memberi perkenan surat peletakan jawatan beliau yang bertarikh 7 Julai 2022, maka beliau tidak lagi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Selangor FC,” ujar RMS.