KPLB kaji keperluan tambah tadika Kemas di bandar

Mahdzir - Foto Bernama
Mahdzir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengkaji keperluan memperbanyakkan taman didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam bandar, kata Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, bagi memperbanyakkan tadika Kemas dalam bandar, ia memerlukan ramai kakitangan, dan penambahan tenaga kerja perlu dipohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Jumlah tadika Kemas dalam bandar adalah kecil, dan keperluan untuk menambah itu ada permintaan tinggi, namun perkara itu perlu dikaji kerana memerlukan kakitangan," katanya ketika ditanya sama ada KPLB bercadang membuka lebih banyak tadika di kawasan bandar ekoran yuran yang semakin meningkat di tadika swasta.

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini pada Selasa.

Mengenai semakan semula kadar biasiswa pelajar di bawah KPLB khususnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk semua pelajar di dalam dan luar negara, Mahdzir berkata butirannya akan diumumkan Perdana Menteri pada satu majlis nanti.

Semalam Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, Jemaah Menteri bersetuju meluluskan semakan semula kadar biasiswa di bawah KPLB khususnya MARA untuk semua pelajar di dalam dan luar negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: