Jangan ambil mudah isu kesihatan mental kanak-kanak

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

PENYAKIT mental dilihat merupakan subjek yang agak tabu untuk dibincangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Selain daripada kekurangan kesedaran, tahap pengetahuan yang masih rendah berkenaan perkara itu juga menjadi antara punca menyebabkan ia tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Situasi tersebut sekiranya dibiarkan berlarutan sebenarnya berpotensi untuk memberi kesan negatif terhadap masa depan negara.

Ini masalah tersebut dilihat bukan sahaja membabitkan orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak dan remaja yang merupakan harapan negara.

Pada Isnin, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiliti (NHMS) menunjukkan satu daripada 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun di negara mengalami gangguan mental dan tumbesaran.

Katanya, satu daripada lapan remaja berusia lapan hingga 10 tahun terbabit dalam isu sama.

Menurut beliau, antara faktor risiko kesihatan mental lemah adalah disebabkan pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesepian dan pengasingan sosial amat berleluasa.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, penyelidikan dijalankan sejak Mei 2021 bertajuk Strengthening Mental Health and Psychological Support (MHPPSS) turut mengenal pasti beberapa cabaran yang dihadapi oleh kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ia antaranya membabitkan kesukaran akses terhadap perkhidmatan kesihatan mental, undang-undang dan polisi, kelemahan koordinator antara sektor serta penglibatan ibu bapa.

Dr Noor Azmi berkata, kesihatan mental yang lemah boleh memberi kesan terhadap kesihatan, pembelajaran dan mengehadkan peluang golongan itu untuk mencapai potensi penuh diri mereka.

Dengan mengambil kira laporan tersebut, masyarakat terutamanya ibu bapa seharusnya menjadikan ia sebagai satu ‘wake up call’ supaya lebih peka terhadap kesihatan mental kumpulan tersebut.