Aaron-Wooi Yik tarik diri Terbuka Jepun esok

Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad. - Foto BADMINTON PHOTO
Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad. - Foto BADMINTON PHOTO
A
A
A

BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memutuskan untuk menarik diri daripada Terbuka Jepun 2022 bermula di Osaka, esok, sehari selepas mereka dinobatkan sebagai juara dunia di Tokyo pada Ahad.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, kecederaan yang dialami Aaron telah memaksa gandingan itu menarik diri daripada kejohanan itu.

”Aaron tidak berasa selesa dengan keadaan otot di bawah ketiaknya, disebabkan itu di final Kejohanan Dunia beliau tidak banyak lakukan pukulan smash kencang. Oleh itu, Aaron tidak mahu mengambil risiko dan sebab itu beliau mengambil keputusan untuk berundur daripada kejohanan itu,” katanya pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones berkata, mereka akan melakukan lebih banyak penilaian terhadap Aaron apabila dia pulang dari Jepun tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, jika ia disahkan sebagai ketegangan kecil dengan pengurusan beban dan rawatan yang baik, saya percaya dalam beberapa minggu, Aaron akan kembali pada tahap 100 peratus,” jelas beliau.

Pada Ahad, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran dunia selepas penantian 45 tahun apabila menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 di pentas final Kejohanan Dunia di Tokyo. - Bernama

Artikel Berkaitan: