Harga siling ayam, telur kekal: Annuar

Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas tersebut di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas tersebut di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam bulat segar tempatan, manakala subsidi 3 sen untuk telur turut kekal, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kabinet turut bersetuju kilang tertentu sahaja iaitu yang menternak ayam secara khusus untuk tujuan eksport, boleh mula mengeksport ayam selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Oktober ini.

Menurut Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, keputusan terbaharu kabinet itu tidak mempunyai tarikh akhir kerana kerajaan akan memantau keseluruhan pengeluaran dan eksport sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jadi, sebelum kabinet membuat keputusan yang baharu, keputusan yang saya umumkan hari ini akan terus berjalan selepas daripada 31 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof dilaporkan berkata, mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di Semenanjung mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos memandangkan bekalannya didapati semakin stabil hari demi hari.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga telur ayam bagi gred A pada 45 sen sebiji, gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen sebiji) yang berkuat kuasa pada 1 Julai untuk tempoh dua bulan.

Kerajaan juga mengambil langkah intervensi menyekat pengeksportan ayam mulai 1 Jun lepas berikutan berlaku kekurangan bekalan menyebabkan harga produk itu naik, namun akhir-akhir ini terdapat lambakan bekalan dalam negara mendorong penternak menggesa kerajaan menarik semula sekatan itu.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan eksport ayam, Annuar berkata, kabinet dimaklumkan terdapat permohonan daripada industri yang menyatakan bekalan ayam ketika ini melebihi daripada keperluan, maka ada pihak yang meminta kerajaan membenarkan untuk eksport.

Menurutnya, kabinet telah menetapkan keutamaan mestilah terus ditumpukan kepada keperluan domestik yang mencukupi, malah sekiranya terdapat sedikit 'oversupply' atau penawaran berlebihan situasi itu perlu dikekalkan kerana dengan adanya pengeluaran lebih tinggi daripada permintaan, ia boleh menjadi mekanisme bagi penurunan harga sesuatu barang.

"Bila harga turun tak boleh kita nak mengurangkan bekalan. Jadi, eksport tidak boleh dibenarkan kalau ia diambil daripada pengeluaran untuk kegunaan domestik.

"Untuk kegunaan domestik, ayam yang diimport dibenarkan (selain) ayam dikeluarkan terus dari ladang yang berbagai-bagai dan ia perlu dikekalkan begitu. Kita faham ada permintaan daripada negara pengimport dan kita ada kapasiti di ladang tertentu di negeri-negeri tertentu untuk mengeksport," katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju hanya kilang tertentu sahaja boleh mengeksport ayam secara bersyarat serta berperingkat, dan kilang berkenaan perlu mendapat kebenaran daripada MAFI.

"Bermakna berapa (ayam) yang dikeluarkan dan dengan kebenaran oleh MAFI, dia tidak boleh menjejaskan bekalan dikeluarkan untuk kegunaan dalam negara

"Hanya ladang yang khusus sahaja, mengeluarkan ayam yang khusus boleh mula ternak sekarang untuk eksport tetapi tidak boleh mengurangkan pengeluaran sedia ada ataupun import yang telah dibenarkan," jelas beliau.

Annuar berkata, mekanisme itu akan dipantau pasukan khas berkenaan secara rapi bagi memastikan keperluan domestik sebanyak kira-kira 70 juta ekor sebulan atau 2.3 juta sehari sentiasa ada, malah jumlahnya harus lebih sedikit daripada yang dinyatakan itu. - Bernama