Sepupu, dua lelaki didakwa bunuh remaja Orang Asli

Tiga lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Majistret Pekan pada Isnin atas tuduhan membunuh remaja 14 tahun.
Tiga lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Majistret Pekan pada Isnin atas tuduhan membunuh remaja 14 tahun.
A
A
A

PEKAN - Tiga lelaki termasuk seorang sepupu mangsa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan membunuh remaja perempuan Orang Asli berusia 14 tahun pada 20 Ogos lalu.

Tertuduh, Rosli Bakar, 29, Helmet, 22, dan Murad Ahmad, 26, yang merupakan Orang Asli suku Jakun mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama telah membunuh seorang remaja berusia 14 tahun di hutan di simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin antara jam 11.15 malam pada 20 Ogos sehingga 7 pagi, pada 21 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Luqman Hakim Mohamad Usai manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Ahmad Daniel Roslan.

Mahkamah menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 23 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang remaja perempuan Orang Asli dalam semak di lereng bukit berhampiran jalan masuk ke rumahnya di Bukit Ibam, Muadzam Shah pada 22 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa berusia 14 tahun itu ditemui kira-kira jam 2.45 petang oleh salah seorang ahli keluarganya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala disyaki dibunuh.

Susulan itu, polis menahan tiga orang lelaki Orang Asli di Bukit Ibam kerana disyaki terlibat dalam kes membabitkan kematian seorang remaja terbabit.