Ahmad Faizal puji semangat kerjasama Aaron-Wooi Yik

Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya merangkul gelaran Juara Dunia BWF World Championships 2022. - Foto: Badminton Photo
Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya merangkul gelaran Juara Dunia BWF World Championships 2022. - Foto: Badminton Photo
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memuji semangat kerjasama yang ditunjukkan beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada Ahad.

“Tahniah Aaron Chia-Soh Wooi Yik kerana berjaya merangkul gelaran Juara Dunia BWF World Championships 2022!.

“Apabila wujud semangat kebersamaan maka tidak mustahil untuk kita mencapai kejayaan!,” tulis Ahmad Faizal menerusi satu hantaran yang dibuat menerusi akaun media sosial Facebook pada Ahad.

Pada masa sama, beliau turut memberikan penghargaan kepada barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sudah banyak berkorban dalam usaha melahirkan juara dunia pertama.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

“Terima kasih buat barisan jurulatih, para pegawai, BAM dan semua pihak terbabit atas usaha yang dicurahkan selama ini.

“Syabas juga kepada BAM kerana terus memberi kepercayaan kepada pelapis muda dan ini merupakan satu tindakan tepat dalam kita melahirkan bintang bertaraf dunia,” ujarnya.

Dalam aksi final di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, Aaron-Wooi Yik memastikan mereka muncul pemain Malaysia pertama merangkul kejuaraan dunia selepas menewaskan bekas juara tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran sulung dalam saingan individu selepas mereka mula digandingkan sejak tahun 2017.