Akmal Nasrullah dedah terima ugutan

Akmal Nasrullah (kanan) melihat kesan kebakaran di Pejabat PKR Cabang Johor Bahru di Larkin Idaman.
Akmal Nasrullah (kanan) melihat kesan kebakaran di Pejabat PKR Cabang Johor Bahru di Larkin Idaman.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendedahkan menerima pesanan suara berbaur ugutan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Beliau berkata, kiriman melalui peti mesej Facebook itu diterima beberapa hari sebelum kejadian kebakaran berlaku di Pejabat Cabang PKR Johor Bahru di Larkin Idaman pada pagi Ahad.

Menurutnya, individu tersebut telah menghantar satu mesej bertulis dan 27 mesej suara berbaur ugutan, bahasa kesat serta makian.

"Mesej itu saya sedari pada Ahad. Terdapat suara lelaki dan berdasarkan percakapan daripada mesej itu, dia merujuk kepada kes yang berlaku di mahkamah minggu lepas.

"Saya telah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada Ahad untuk membuat laporan terhadap kejadian ugutan tersebut. Saya sudah serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Sebelum itu, Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru di sini terbakar hampir 10 peratus dalam kejadian pada tengah malam Sabtu.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 6 pagi mengakibatkan bahagian pintu 'roller shutter' di hadapan pejabat itu rosak teruk selain kesan asap dan debu kelihatan di luar dan dalam bangunan.

Akmal Nasir berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran dan tinjauan di tempat kejadian mempercayai kebakaran dimulakan dengan lima biji tayar dibakar di hadapan pintu pejabat itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan berhubung dua kejadian itu.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

"Laporan polis berhubung kes ugutan baharu diterima dan kita akan membuka siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.