Kastam rampas arak, rokok lebih RM2.8 juta

Sazali (kiri) menunjukkan minuman keras yang dirampas di dalam sebuah kontena pada sidang media di Menara Kastam Johor Bahru pada Ahad.
Sazali (kiri) menunjukkan minuman keras yang dirampas di dalam sebuah kontena pada sidang media di Menara Kastam Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan tiga lelaki dan merampas barangan kontraban, minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai lebih RM2.8 juta menerusi enam serbuan bermula 9 Jun hingga 2 Ogos lalu.

Kesemua rampasan dan tangkapan dilakukan di enam lokasi termasuk gudang dan pelabuhan di sekitar negeri ini dan Selangor.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, rampasan pertama membabitkan 9,240 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 9 Jun lalu.

Menurutnya, rampasan kedua pada hari dan lokasi yang sama melibatkan 10,048 liter minuman keras di dalam kontena yang diimport dari luar negara dengan mengikrarkan urusan import dipercayai tidak benar.

"Rampasan ketiga pula melibatkan 3,020 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 22 Jun lalu.

"Sindiket menggunakan modus operandi menyeludup minuman keras dipercayai dari China dengan menyembunyikannya di bahagian tengah kontena bersama dagangan lain seperti kabinet, beg, lampu, kasut dan mesin basuh," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor pada Ahad.

Menurut Sazali, rampasan keempat pula melibatkan 5,594 liter minuman keras dan 33,600 batang rokok membabitkan nilai cukai RM22,600.

Rampasan kelima pula katanya, melibatkan sebuah premis tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor pada 1 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan ke atas premis yang tidak berpenghuni itu, terdapat 33,125 liter minuman keras pelbagai jenama disembunyikan di dalam sebuah lori kontena dan dua buah lori.

"Seterusnya, rampasan keenam pada 2 Ogos lalu pula, 9,223 liter minuman keras berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah gudang di kawasan Zon Bebas di Pelabuhan Johor Pasir Gudang," ujarnya.

Tambah beliau, tiga lelaki yang ditahan merupakan wakil pengimport dan ejen penghantar berusia 32 hingga 36 tahun.

"Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.