Anak-anak bersiap awal, teruja

Orang ramai kelihatan sibuk memilih bahan bacaan mereka pada Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Orang ramai kelihatan sibuk memilih bahan bacaan mereka pada Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - “Anak saya awal pagi sudah bersiap sebab teruja nak datang sini, mereka tak sabar sertai pertandingan mewarna dan beli buku,” kata Amril Abdul Razak, 36, ketika ditemui hadir ke Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Kompleks Karangkraf di sini.

Ujar pemandu Grab itu, dia memanfaatkan cuti pada hujung minggu dengan membawa ahli keluarganya ke jualan gudang tersebut untuk mendapatkan pelbagai buku pada harga murah selain aktiviti menarik yang dianjurkan.

“Setiap hari nampak iklan hebahan tentang program itu dan terus beritahu keluarga tentang jualan gudang ini.

“Selain anak-anak dan isteri, ibu juga turut serta kerana dia ingin membeli buku motivasi dan buku agama,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Isteri kepada Amril, Fairieza Firdaus, 38, mengakui jualan gudang pada kali ini sangat menarik kerana pelbagai program baharu diadakan. Antaranya termasuklah aktiviti Book Hunt: Rahsia Bilik Gelap, Peraduan Snap, Shoot & Win dan jualan istimewa akhbar Sinar Harian berserta hadiah percuma iaitu kit Merdeka.

Kelihatan seorang kanak-kanak sedang memilih bahan bacaan pilihan di Jualan Gudang Karangkraf 2022. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Kelihatan seorang kanak-kanak sedang memilih bahan bacaan pilihan di Jualan Gudang Karangkraf 2022. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Kepelbagaian aktiviti ini mampu menarik pengunjung dari serata negeri ditambah pula jualan gudang ini menawarkan banyak pilihan buku dengan diskaun menarik,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Azlina Musa, 41, memberitahu, dia merupakan pengunjung setia setiap kali jualan gudang diadakan.

Artikel Berkaitan:

“Sejak 2017, saya akan pergi ke jualan gudang setiap kali ia diadakan. Kali ini, saya dapati kompleks Karangkraf sudah berwajah baharu, jualan gudang dilihat terkawal, teratur dan selesa terutama bagi pengunjung yang berusia,” katanya.

Eksekutif Pengeluaran di syarikat swasta, Mohd Sobri Mohd Hasbullah, 32, pula menjelaskan, susunan dan label yang disediakan di setiap ruang jualan teratur memudahkan pembeli untuk mendapatkan bahan bacaan.

“Apabila sudah ada label harga dan ruangan tertentu maka mudahlah pengunjung untuk mendapatkan bahan bacaan yang digemari.

“Hari ini saya beli pelbagai buku termasuk buku agama, buku motivasi dan buku resipi masakan dengan harga yang berpatutan dengan jumlah keseluruhan dibayar tidak lebih dari RM150,” katanya.

Pelbagai aktiviti dijalankan semasa Jualan Gudang Karangkraf 2022. Foto Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pelbagai aktiviti dijalankan semasa Jualan Gudang Karangkraf 2022. Foto Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Murah dan selesa

Seorang pekerja swasta, Siti Hajar Sulaiman, 34, yang pertama kali datang ke jualan gudang Karangkraf mendapati, pelbagai bahan bacaan dijual dengan harga murah selain fasiliti disediakan mencukupi dan selesa.

“Saya lihat perjalanan acara di sini teratur, parkir kenderaan mudah dan tidak perlu berebut. Jika mahu berada di sini pada tempoh lama pun tidak jadi masalah dan tidak perlu bersesak-sesak,” ujarnya.

Seorang pelanggan, Nor Fatihah Jamaluddin, 36, memberitahu, dia membeli akhbar Sinar Harian kerana tertarik dengan pemberian hadiah percuma selain sebagai tanda sokongan kepada akhbar tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran & Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, orang ramai digalakkan mendapatkan jualan istimewa akhbar Sinar Harian berserta hadiah percuma iaitu Kit Merdeka.

Antara yang memanfaatkan cuti hujung minggu bersama keluarga ke Jualan Gudang Karangkraf 2022. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Antara yang memanfaatkan cuti hujung minggu bersama keluarga ke Jualan Gudang Karangkraf 2022. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Kita ada jualan istimewa akhbar Sinar Harian pada harga RM1.60 sepanjang jualan gudang ini berlangsung di Kompleks Karangkraf.

“Setiap pembelian surat khabar ini akan disertakan dengan Kit Merdeka yang mengandungi beberapa barangan termasuk bendera Malaysia, pelekat kenderaan Rasuah Busters, lencana butang Rasuah Busters dan pelitup muka.

“Pemberian Kit Merdeka ini hanya diberi sepanjang jualan gudang yang berlangsung hingga 4 September ini,” jelasnya.

Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang berlangsung dari 26 Ogos hingga 4 September ini di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam merupakan kali kedua dianjurkan pada tahun ini.

Jualan gudang selama 10 hari itu bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam dengan menawarkan pelbagai bahan bacaan pada harga serendah RM1 selain menawarkan diskaun sehingga 80 peratus.