Merah Kuning lambang kebanggaan...

Penyokong sejati Merah Kuning tidak akan berhenti memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.
Penyokong sejati Merah Kuning tidak akan berhenti memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.
A
A
A

SABTU 16 Julai lalu merupakan tarikh keramat kepada pemain ke-12 Selangor FC apabila menyaksikan King of Malaya itu menamatkan kemarau tiga perlawanan Liga Super tanpa kemenangan.

Kemenangan terhasil selepas menjinakkan Penang FC 2-0, itu pun setelah Harimau Kumbang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan Ahmad Sukri Ab Hamid dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua pada minit ke-68.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan sebaiknya The Red Giants yang ketika itu dibimbing Michael Feichtenbeiner merobek gawang pelawat menerusi pemain gantian Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (73’) dan Muhamad Syahir Bashah (79’) dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mengesahkan kemenangan keempat musim ini.

Tiga mata itu terus menyalakan kembali peluang The Red Giants untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan teratas liga apabila melonjak ke tangga kelima dengan 15 mata selepas 10 perlawanan.

Dalam tiga perlawanan terakhir sebelum itu, skuad kendalian Feichtenbeiner tersebut dibelasah 1-5 pendahulu liga Johor Darul Ta'zim (JDT), tewas 0-2 kepada Melaka United dan seri 1-1 menentang Sabah FC.

Namun pada 20 Julai, Selangor, kembali menjelmakan petanda tidak konsisten apabila diikat seteru setempat Kuala Lumpur (KL) City FC 1-1 dalam Derbi Lembah Klang di Stadium MBPJ.

The Red Giants yang mendominasi babak pertama membuka tirai jaringan hasil voli kapten pasukan, Brendan Gan, terbias di kaki pertahanan The Hawks, Muhammad Irfan Zakaria, sebelum bola menerjah jaring pelawat pada minit ke-36.

Bintang import sensasi The Hawks, Romel Morales kemudian menebus kegagalan menyempurnakan sepakan penalti sebelum itu apabila menanduk hantaran Muhammad Irfan untuk menyamakan kedudukan skuad Bojan Hodak pada minit ke-68.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pertarungan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 27 Julai menjadi titik tolak kepada prestasi turun naik King of Malaya apabila jaringan Steven Rodriguez (34’) dan Abdul Malik Mat Ariff (39’) menjelmakan semula kekalahan liga anak buah Feichtenbeiner.

Selangor sebelum itu melangkah bergaya ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah FC 2-0 di Stadium Likas, hasil jaringan Hyuri Henrique De Oliveira Costa dan Herlison Caion, namun dihentikan Terengganu FC (TFC) di dengan kekalahan 2-4 menerusi penentuan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 6 Ogos.

Untuk rekod, anak buah Feichtenbeiner sebelum itu hanya melakar kemenangan pertama liga pada 10 April ketika melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Petaling Jaya.

Kemenangan 4-1 ke atas Sang Kenari biarpun disifatkan fantastik, namun belum cukup meredakan amarah pemain ke-12 Selangor FC yang menyaksikan lima gol dilepaskan dalam dua perlawanan awal bermula dengan keputusan seri 3-3 berdepan KL City (4 Mac) diikuti 2-2 menentang Negeri Sembilan FC semasa kunjungan ke Stadium Tuanku Abdul Rahman pada 5 April.

Insiden itu juga menyaksikan pemain ke-12 Merah Kuning tampil 'menyekolahkan' penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan kapten pasukan ketika itu, Safuwan Baharudin apabila pasukan bolos enam gol dalam tiga perlawanan awal.

Namun kekalahan kali keempat berturut-turut (0-2 Sri Pahang, 2-3 Negeri Sembilan FC, 0-2 TFC) aksi liga ketika dijinakkan 0-1 kelab bawahan Petaling Jaya City FC (PJ City) pada Ahad, sekali lagi mengundang amarah yang marah dalam kalangan pemain ke-12 Merah Kuning apabila berhimpun membuat protes selepas perlawanan di Petaling Jaya tersebut.

Ternyata chant-chant pemain ke-12 King of Malaya itu jelas memberi mesej jelas bahawa komuniti tersebut mahukan pasukan kesayangan mereka melakukan perubahan dan menghasilkan keputusan lebih positif bermula dengan perlawanan berdepan JDT di Petaling Jaya pada 3 September, Sabah FC (Likas, 10 September), Kedah Darul Aman FC (Alor Setar, 14 September), Melaka United (Petaling Jaya, 1 Oktober), PJ City (Petaling Jaya, 7 Oktober), Sarawak United (Kuching, 11 Oktober) dan Penang FC (Georgetown, 15 Oktober).

Biarpun begitu pengendali sementara Selangor FC, Nidzam Jamil yang baharu mengemudi The Red Giants meminta penyokong setia pasukan itu memberi sedikit simpati dan empati kepada pemain dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

"Perasaannya seperti kamu balik ke rumah, tapi orang kat rumah tak suka kamu, saya dapat lihat itu. Kami bermain di halaman sendiri, bermain di rumah kami, tapi dari awal (cemuhan penyokong)...saya faham tapi kami perlukan sokongan untuk berasa seperti berada di rumah.

"Saya faham reaksi para penonton, tapi mereka boleh bagi komen. Mereka boleh bagi reaksi berbeza, tetapi sedikit sokongan kepada kami sudah memadai sebenarnya.

"Sebenarnya pasukan ini ada potensi, ada watak, tapi kami perlukan para penyokong untuk menyokong kami. Tapi kalau kami semua dengar dari minit pertama, saya tak dengar dan rasa seperti kami berada di rumah kan?," katanya.

Pada masa sama Nidzam menitip pesanan penting kepada anak buahnya," Apa yang boleh diubah para pemain Selangor adalah memberikan keputusan yang lebih baik selepas ini. Reaksi para penyokong disebabkan keputusan perlawanan, jadi kita perlu berikan reaksi terbaik menerusi keputusan perlawanan," katanya.

Mentaliti Juara

Pemain ke-12 Selangor melihat para pemain yang menyarung jersi Merah Kuning tidak hanya merupakan satu kebanggaan tetapi juga satu tanggungjawab memberikan sepenuh jiwa demi lencana di dada dalam setiap perlawanan.

Apatah lagi dengan bait-bait 'Merah kuning lambang kebanggaan... Selangor merancang kejayaan... Gemuruh sorakan menggegarkan... Cabaran disambut dengan kesungguhan...' yang menaikkan aura dan semangat juang tidak hanya penyokong tetapi juga pemain di stadium.

Sejujurnya, Merah Kuning bukan sebuah pasukan biasa-biasa seperti pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga-M) kerana ia mempunyai legasi dan sejarah tersendiri dalam persuratan bola sepak Malaysia sejak dulu lagi.

Malah aura dan magis legenda Harimau Malaya serta Merah Kuning, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari seharusnya menjadi inspirasi kepada para pemain menyarung jersi King of Malaya dalam memastikan kegemilangan The Red Giants berterusan dengan Mentaliti Juara!