MAFI, Arab Saudi perkukuh agenda sekuriti makanan negara

Pertemuan Ronald (kiri) dan wakil SFDA bagi meningkatkan akses pasaran produk agromakanan negara ke Arab Saudi.
Pertemuan Ronald (kiri) dan wakil SFDA bagi meningkatkan akses pasaran produk agromakanan negara ke Arab Saudi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama berterusan antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan kerajaan Arab Saudi diyakini mampu memperkukuh agenda sekuriti makanan negara.

MAFI dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, delegasi ke Arab Saudi yang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bertujuan meneruskan rundingan bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian merentasi pelbagai subsektor agromakanan.

Menurutnya, pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan (G2G) secara bilateral turut dibincang secara lanjut bagi mengukuhkan agenda sekuriti makanan kedua-dua negara.

“Bagi tahun 2021, Malaysia mengeksport hasil dan produk pertanian sebanyak RM2.4 bilion ke Arab Saudi manakala jumlah import hasil dan produk pertanian Arab Saudi adalah sebanyak RM100 juta.

“Melihat kepada potensi tersebut, perjumpaan dua hala antara Menteri MAFI dengan rakan sejawatnya mampu memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan hasil dan produk pertanian antara kedua-dua negara,” katanya.

Untuk makluman, mesyuarat dua hala yang berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos itu adalah atas undangan Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi, Abdulrahman Abdulmohsen A. AlFadley sebagai susulan lawatan rasmi beliau bersama delegasi ke Malaysia pada 13 Julai lalu.

Delegasi MAFI ke Arab Saudi meneroka kerjasama dalam sektor agromakanan.
Delegasi MAFI ke Arab Saudi meneroka kerjasama dalam sektor agromakanan.

Tambah kenyataan itu, beberapa siri perbincangan lain juga telah diadakan termasuk bersama Badan Pengawasan Makanan dan Ubat Saudi (SFDA) bagi meningkatkan akses pasaran produk agromakanan negara ke Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ujarnya, turut berlangsung perbincangan bersama National Research and Development Center for Sustainable Agriculture (Estidamah) berkenaan kerjasama teknikal dan penyelidikan pertanian bersama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Malaysia (MARDI).

“Antara aspek potensi kerjasama yang akan diterokai termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta makmal bersama, pertukaran pakar teknikal, pertanian moden dan perkongsian maklumat teknikal dan teknologi pertanian.

“Ia bakal menandakan kerjasama penyelidikan pertanian yang pertama untuk MARDI di Arab Saudi. Kerjasama erat melalui mesyuarat dua hala ini diharap akan terus menyumbang kepada peningkatan jumlah perdagangan dan kerjasama dua hala dalam usaha mengukuhkan agenda sekuriti makanan negara.

“Ini juga selaras dengan komitmen kerajaan khususnya dalam usaha menjamin ekosistem sekuriti makanan yang lebih inklusif melalui kerjasama strategik yang komprehensif bagi mempelbagaikan sumber dan rantaian bekalan makanan demi kemampanan industri agromakanan negara,” jelas kenyataan itu.