[VIDEO] Anak Mat Sabu kekal bebas kes dadah

Ahmad Saiful Islam kekal dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan penyalahgunaan dadah. - Foto fail Bernama.
Ahmad Saiful Islam kekal dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan penyalahgunaan dadah. - Foto fail Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, kekal dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan penyalahgunaan dadah.

Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Kamaludin Md Said pada Jumaat selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap Ahmad Saiful Islam, 34.

Dalam penghakimannya, Kamaludin berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan selaku perayu bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah tersalah arah ketika membuat keputusan melepas dan membebaskan responden.

"Mahkamah ini telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan tidak bersetuju dengan bantahan oleh pihak pendakwaan," katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa Collin Lawrence telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan selain tidak ada keraguan dalam keputusan tersebut.

"Keputusan (membebas dan melepaskan) itu adalah selamat. Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan," ujar Kamaludin.

Turut bersidang, Hakim Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Perayu diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Mangai manakala Ahmad Saiful selaku responden diwakili peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Jun 2019, Ahmad Saiful mengaku tidak bersalah atas dakwaan menggunakan dadah tetra hydrocannabinol (THC) di sebuah hotel di ibu negara, jam 2.05 pagi, pada 5 Januari tahun sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 24 Jun 2020, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Ahmad Saiful selepas didapati bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Namun Mahkamah Tinggi pada 27 Oktober 2021 melepaskan dan membebaskan Ahmad Saiful daripada pertuduhan itu selepas didapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua sampel air kencing menyebabkan sabitan menjadi cacat.

@sinarharianonline Keputusan sebulat suara dibuat tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan hari ini #fyp#PerkasakanSuaraMalaysia#MalaysiaBerintegriti#MatSabu original sound - Sinar Harian