Kesilapan Zii Jia makan diri

Zii Jia - Foto AFP
Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

IBARAT pepatah yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.

Kesilapan membuat pilihan melepaskan temasya Sukan Komanwel bagi memberi fokus kepada Kejohanan Badminton Dunia akhirnya memakan diri pemain perseorangan, Lee Zii Jia apabila langkahnya terhenti di pusingan ketiga.

Pemain berusia 24 itu tewas kepada pemain bukan pilihan dari China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21 di Tokyo, Jepun pada Khamis.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan pilihan Zii Jia itu sebagai sesuatu yang silap dan merugikan.

Bagaimanapun beliau mengakui pilihan tersebut terletak di tangan pemain itu dan terserah kepadanya untuk menentukan masa depannya.

“Kita dapat lihat Zii Jia terlalu tertekan dalam perlawanan hari ini (semalam). Dia perlu belajar bahawa kejohanan ini amat besar.

“Selepas dia keluar BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tugasnya dan pasukan dalam Kejohanan Dunia memang bukan senang dan kita dapat lihat beban yang dipikulnya amat berat," katanya ketika ditemubual Nadi Arena pada Khamis.

Chong Wei sebelum ini pernah memberi reaksi berhubung keputusan Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan memilih untuk ke Sukan Komanwel dan selepas itu barulah ke Kejohanan Dunia.

“Sebagai seorang senior, saya melihatnya sebagai satu kerugian kerana Sukan Komanwel empat tahun sekali, Kejohanan Dunia setiap tahun.

“Mungkin dia membuat satu keputusan yang salah, tetapi dia lebih tahu apa yang dia perlukan,” katanya.

Menyentuh kesukaran yang mungkin dihadapi Zii Jia selepas memilih untuk keluar daripada BAM, Chong Wei berkata, itu adalah pilihannya.

“Sebagai pemain yang sudah bersara, saya tidak boleh komen. Dia akan memilih yang terbaik untuk dirinya.

“Saya fikir orang yang mungkin sesuai untuk menasihatkannya adalah dirinya sendiri.

“Dia perlu benar-benar merancang masa depan dan kariernya. Saya fikir perkara itu merupakan sesuatu yang penting buat Zii Jia,” katanya.