KPDNHEP pastikan perdagangan domestik berkembang pesat

Nanta berucap pada majlis santapan malam sempena Sambutan Jubli Emas KPDNHEP di sebuah hotel pada malam ini. - Foto Bernama
Nanta berucap pada majlis santapan malam sempena Sambutan Jubli Emas KPDNHEP di sebuah hotel pada malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan pertumbuhan perdagangan domestik terus berkembang pesat untuk memacu pendapatan isi rumah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa sama, pihaknya juga akan memastikan pengguna sentiasa dilindungi daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

"Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP terus bertekad untuk memegang amanah serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan cemerlang.

"Cabaran dan dugaan yang dihadapi, akan menjadi dorongan kepada kami untuk memastikan rakyat di negara ini mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas dengan harga yang munasabah,” katanya pada Majlis Santapan Malam Sambutan Jubli Emas Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP di sini malam ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Nanta berkata, penganjuran majlis santapan itu bertujuan memperingati fungsi dan peranan bahagian penguat kuasa berkenaan dalam berkhidmat kepada rakyat dan negara, serta peranan institusi diraja dalam menaungi kerajaan.

Beliau berkata, Sambutan Jubli Emas itu dimulakan dengan Majlis Perbarisan dan Program Tamat Latihan Asas Sains Penguat Kuasa pada Julai lepas.

Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP yang ditubuhkan pada 17 April 1972 meraikan ulang tahunnya yang ke-50 tahun pada tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: