Sukma 2022 sudah bersedia 90 peratus

Sukma 2022 sudah bersedia 90 peratus
Sukma 2022 sudah bersedia 90 peratus
A
A
A

TAHAP persediaan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 bermula 16 hingga 24 September ini kini sudah mencapai 90 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola temasya sukan berkenaan, Datuk Jana Santhiran Muniayan menyifatkan persediaan bagi menganjurkan Sukma itu termasuk dari segi teknikal, venue dan atlet berjalan cukup lancar buat masa sekarang.

"Ketika ini kami sedang giat melaksanakan strategi menarik minat orang ramai untuk memeriahkan Sukma kali ini termasuk dengan memperhebatkan promosi di peringkat kementerian, menteri, timbalan menteri, sekolah serta media massa.

"Kami mohon bantuan orang ramai untuk memberi sokongan padu kepada atlet bagi membantu peserta menampilkan aksi lebih menyerlah di hari pertandingan nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan Malaysia Sports League (MSL) peringkat kebangsaan pada Khamis.

Muniayan juga memaklumkan kesemua 426 acara melibatkan 223 acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis mempunyai penyertaan minimum daripada enam negeri.

Sebelum ini, syarat minimum peraturan teknikal Sukma adalah penyertaan sekurang-kurangnya lapan daripada 14 negeri secara keseluruhan namun dikurangkan kepada enam kerana penganjuran kali ini adalah edisi khas selepas pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan berkata, MSL adalah sebuah program bagi menggalakkan semua lapisan masyarakat bersukan dan mengamalkan gaya hidup aktif.

MSL peringkat kebangsaan yang akan bermula 26 hingga 28 Ogos di sekitar Lembah Klang bakal menyaksikan penyertaan 15 kontinjen dari seluruh negara mewakili negeri dan Wilayah Persekutuan melibatkan 900 pemain dan peserta.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak lima sukan dipertandingkan pada MSL iaitu futsal, badminton, bola keranjang '3 on 3', bola jaring dan sepak takraw. - Bernama