Binaan PLSB Sungai Golok capai 64 peratus

Ahmad (dua dari kanan) melawat ke tapak PLSB Sungai Golok di ban banjir Sungai Lanchang Lemal, Pasir Mas pada Khamis. - Foto ihsan Facebook MB Kelantan
Ahmad (dua dari kanan) melawat ke tapak PLSB Sungai Golok di ban banjir Sungai Lanchang Lemal, Pasir Mas pada Khamis. - Foto ihsan Facebook MB Kelantan
A
A
A

PASIR MAS - Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 di negeri ini mencapai kemajuan fizikal 64 peratus sehingga 16 Ogos lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek tersebut dikawal selia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM656 juta.

“Projek dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024.

“Pembinaan Fasa 1 ini melibatkan empat skop utama iaitu ban banjir Sungai Golok sepanjang 26.2 kilometer (km), ban banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Sungai Mentua Bunding,” katanya ketika Lawatan Kerja Menteri Besar Kelantan ke tapak PLSB Sungai Golok di ban banjir Sungai Lanchang Lemal, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Ahmad berkata, objektif projek itu adalah mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berdekatan Sungai Golok dan meningkatkan keselamatan serta kedaulatan negara.

“Infrastruktur tebatan banjir untuk 50 kala purata ulangan (ARI) dilakukan bagi mendalamkan muara Sungai Golok, menambah baik laluan bot dan perlindungan terhadap muara sungai tersebut daripada risiko banjir pantai.

“Projek ini akan mempunyai kesinambungan Fasa 2 melibatkan pembinaan dinding tebatan banjir di Rantau Panjang sepanjang 2.5km dan pembinaan ban banjir Sungai Lanchang Lemal (20km),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, selain melibatkan pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Kedotak ke Sungai Lanas sepanjang 21km dan Pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Lanchang ke Kampung Kedotak sejauh 19km.

“Kejadian banjir pada Disember 2021 dan Februari 2022 melibatkan beberapa kampung berdekatan Sungai Lanchang Lemal iaitu Kampung Tersang, Kampung Terusan, Kampung Bakat, Kampung Gual Periok dan Kampung Gual Tok Deh, Pasir Mas yang dinaiki air sehingga menyebabkan banjir termenung serta perpindahan penduduk.

“Diharap projek ini dapat berjalan dengan baik sehingga semua fasa siap sepenuhnya demi manfaat dan kemudahan rakyat di Rantau Panjang khususnya dan seluruh lembangan Sungai Golok amnya,” ujarnya.