RM1.5 juta untuk KRT semarak sambutan Bulan Kebangsaan

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Norison Ramli (tengah) bergambar bersama peserta pada Program Uniti Plogging bersama NGO Green Plastik Ija (GPI) di Pantai Pulau Kekabu, pada Khamis. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Norison Ramli (tengah) bergambar bersama peserta pada Program Uniti Plogging bersama NGO Green Plastik Ija (GPI) di Pantai Pulau Kekabu, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

MARANG Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menyalur peruntukan berjumlah RM1.5 juta kepada Kelab Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara bagi penganjuran aktiviti sempena Bulan Kebangsaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Norison Ramli berkata, dana khas itu sudah diagihkan ke setiap negeri bagi membolehkan KRT menjalankan program secara meriah di tempat masing-masing.

"Kita dah luluskan RM1.5 juta ke seluruh negara, dan kalau besar negeri itu kita bagi peruntukan sebanyak RM50,000 dan yang lebih kecil, dapat RM30,000.

"Peruntukan ini kita salur kepada jentera JPNIN iaitu KRT untuk mereka laksanakan program semarak Bulan Kebangsaan yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 16 September depan," katanya kepada Bernama selepas Program Uniti Plogging Bersama Geng Plastik Ija (GPI) di Pantai Pulau Kekabu di sini, pada Khamis.

Sebanyak 140 kilogram sampah berjaya dikutip dalam masa sejam oleh 70 sukarelawan daripada GPI dan anggota KRT di sekitar daerah Marang.

Dalam pada itu, Norison berkata, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 600 KRT yang tidak aktif di seluruh negara disebabkan pelbagai faktor termasuk ketiadaan pelapis pemimpin dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau telah meminta pengarah JPNIN negeri untuk mengenal pasti masalah atau isu yang timbul supaya tindakan lanjut dapat diambil.

"Kita ada 8,830 KRT di seluruh negara dan yang tak aktif ini hanya kira-kira dua peratus atau lebih kurang 600 sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kita perlu hidupkan kembali KRT ini kerana kelab ini mempunyai peranan penting dalam menyelesaikan satu-satu isu dalam komuniti, mengeratkan silaturahim dan juga kawalan keselamatan di sesuatu tempat," katanya. - Bernama