City yakin Silva akan kekal

Silva
Silva
A
A
A

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City sekali lagi menolak khabar angin berkenaan pemain tengahnya, Bernardo Silva yang dikatakan bakal meninggalkan kelab tersebut pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif City, Ferran Soriano berkata, dengan tempoh kurang dari seminggu sebelum pintu perpindahan pemain tutup, beliau tidak melihat perpindahan pemain itu akan berjaya dilakukan.

Malah katanya, dia yakin perancang tengah itu akan kekal bersama City pada musim ini meskipun kelab LaLiga, Barcelona berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Cerita ini (perpindahan Silva) sering kali timbul. Bagaimanapun jauh di lubuk hatinya, ia tidak pernah bergerak sekalipun daripada titik permulaan.

“Dengan baki seminggu sahaja lagi sebelum jendela perpindahan ditutup, bagi saya ia agak lewat untuk saya bercakap mengenai pemain yang akan masuk dan pergi meninggalkan kelab ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Silva menyatakan hasrat untuk meninggalkan City pada musim ini selepas mengakui masa depannya sangat cerah sekiranya bersama Barcelona.

Malah pengendali City, Pep Guardiola juga difahamkan tidak akan menghalang Silva sekiranya pemain itu ingin meninggalkan juara EPL itu.

Untuk rekod, pemain berusia 28 tahun itu membuat 50 penampilan buat City musim lalu selain menjaringkan 13 gol dan menyumbangkan tujuh bantuan jaringan.

Artikel Berkaitan:

Hanya Kevin de Bruyne (129) dan Jack Grealish (78) mencipta lebih banyak peluang untuk City berbanding Silva (76 kali) musim lalu.