'Tinggal hanya untuk enam jenazah'

Pihak berkuasa agama bertemu penduduk melihat keadaan Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya.
Pihak berkuasa agama bertemu penduduk melihat keadaan Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor diminta menyelesaikan segera isu Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya di sini yang sudah padat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, pada masa ini, tanah perkuburan itu hanya boleh menampung pengebumian enam jenazah di lot kosong berhampiran pagar kawasan kubur itu.

"Kini memerlukan kawasan tanah baharu bagi tujuan pengebumian jenazah.

"Keperluan ini sangat mendesak dan memerlukan perhatian kerajaan negeri bagi memastikan proses pengurusan dan pengebumian jenazah dapat dilaksanakan dengan cepat serta sempurna," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Kenduri Rakyat di sebuah restoran, pada Rabu.

Mohd Shaid berkata, isu itu boleh ditangani sekiranya tanah seluas kira-kira 1.6 hektar yang terletak berdekatan tanah perkuburan itu diwartakan kerajaan Selangor sebagai tanah perkuburan baharu.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni untuk tindakan lanjut.

"Selepas saya dedahkan mengenai kebimbangan penduduk terhadap tanah perkuburan semakin terhad di Facebook, jabatan terlibat turun padang untuk melihat sendiri keadaannya.

"Pihak jabatan bertanggungjawab memaklumkan perkara ini akan diselesaikan dan berusaha mencari tapak sesuai," katanya.

Artikel Berkaitan: