Aura Tze Yong persis Chong Wei

Tze Yong bersama Chong Wei - Foto Meng Fatt Lee
Tze Yong bersama Chong Wei - Foto Meng Fatt Lee
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong disifatkan di landasan terbaik untuk menjadi antara pencabar pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun mengakhiri cabaran Kejohanan Dunia 2022 pada pusingan kedua.

Malah menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, pemain berusia 22 tahun itu mula belajar daripada setiap perlawanan kompetitif sejak kebelakangan ini.

“Ya, cabaran Tze Yong terhenti pusingan kedua Kejohanan Dunia kepada pemain yang lebih berpengalaman, itu pun selepas dia memberi saingan sengit sehingga mengheret perlawanan ke set penentuan.

“Satu pujian buat pemain muda 'bidan terjun' ini apabila mempamerkan karakter melawan tinggi pada penampilan pertama di Kejohanan Dunia ketika berdepan Thammasin biarpun bermula dengan tewas dalam set pertama.

“Saya percaya gaya permainan Tze Yong akan cepat matang menerusi proses sebegini sama seperti penampilan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Mohd Sadek
Mohd Sadek

Pada Selasa, hasrat pemenang pingat perak temasya Birmingham 2022 itu untuk melangkah lebih jauh di Kejohanan Dunia 2022 berakhir apabila tewas kepada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin.

Dalam perlawanan di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, pemain nombor 42 dunia tersebut terpaksa akur pengalaman dimiliki jagoan ranking ke-33 berkenaan apabila kalah 21-9, 10-21, 21-19.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sadek juga berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mencari kaedah terbaik dalam memastikan pemain dari Johor itu konsisten menjadi pencabar setiap kejohanan kompetitif tinggi.

“Aura Tze Yoong mengingatkan saya kepada permulaan awal Datuk Lee Chong Wei sebelum ini. Jadi saya harap barisan kejurulatihan BAM dapat mencari formula terbaik meningkatkan prestasi semasa Tze Yong.

“Malah tidak mustahil daya saing learning curve semasa Tze Yong akan meningkat selepas ini seperti Chong Wei pada permulaan kariernya dulu.

Learning curve Tze Yong berada pada tahap terbaik, cumanya aspek taktikal dan jumlah minit kejohanan kompetitif perlu diberikan perhatian bagi meningkat kualiti permainannya,” katanya.

Untuk rekod, Tze Yong terpilih menggalas cabaran negara di Kejohanan Dunia selepas penarikan diri beberapa pemain lain, dalam kejuaraan yang turut disertai pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia dan Daren Liew.

Pada masa sama Mohd Sadek gembira apabila Tze Yong tidak dibuai dengan kejayaan ketika membantu kontinjen negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

“Fokus Tze Yong tetap tinggi di Kejohanan Dunia kali ini walaupun sebagai bidan terjun di Jepun kali ini.

“Cuma tuah tidak menyebelahi dia apabila permainan berada di kedudukan 19-19 pada set penentuan yang pengalaman lebih memihak Thammasin.

“Sesuatu yang menarik di edisi Tokyo 2022, Tze Yong menyedari terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera, sebagai contoh stamina dan kekuatan mental apabila berdepan lawan yang lebih hebat serta berpengalaman,” katanya.

Di edisi Birmingham 2022 sebelum ini Tze Yong yang tidak diberi harapan tinggi meraih pingat, merangkul perak selepas tewas kepada pemain India, Lakshya Sen pada aksi final acara perseorangan.

Tze Yong sebelum itu mencipta sensasi apabila menjinakkan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, 21-15,14- 21,11 -21 di suku akhir sebelum menjinakkan jaguh India, Srikanth Kidambi 13-21, 21-19, 21-10 pada aksi separuh akhir.