PM dahului senarai penerima pingat ulang tahun TYT Melaka

Mohd Ali Rustam (kanan) mengurniakan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Ismail Sabri pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri dekat Ayer Keroh, pada Rabu. - Foto Bernama
Mohd Ali Rustam (kanan) mengurniakan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Ismail Sabri pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri dekat Ayer Keroh, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 347 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Melaka sempena ulang tahun ke-73 Yang Di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam pada Rabu.

Ismail Sabri dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Secara keseluruhan, seramai 883 penerima menerima pingat dan darjah kebesaran pada upacara yang berlangsung dalam tiga sesi istiadat iaitu pada pagi ini yang berlangsung di Balai Istiadat di Seri Negeri, Ayer Keroh dan dua sesi lagi pada 27 Ogos.

Penerima terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan, pengamal media dan ahli badan sukarelawan.

Turut menerima pingat kebesaran ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto yang masing-masing menerima pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, seramai 26 penerima menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira manakala seramai sembilan orang lagi menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DCSM ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari dan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Zaini Jass sementara penerima DMSM ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Dr Omar Raisul As-Salam Syah A.S Omar.

Bagi Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk, seramai 163 penerima termasuklah penyanyi legenda rock negara Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Sementara bagi Darjah Seri Melaka (DSM), anugerah tersebut diberikan antaranya kepada Pengarah Bomba Negeri Melaka, Abu Bakar Katain.

Bintang Gagah Perkasa (BGP) dikurniakan kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas dibawa arus deras pada 20 Oktober 2021 ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Selain itu, penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) diberikan kepada Azwan Omar atau dikenali sebagai Abang Viva di atas jasa membantu jasa banjir.

Penganugerahan juga diberikan kepada 71 penerima bagi Bintang Cemerlang Melaka (BCM) diikuti 159 penerima Bintang Khidmat Terpuji, 258 penerima Pingat Jasa Kebaktian, 151 penerima Pingat Bakti Masyarakat dan dua penerima Khidmat Lama. - Bernama