Dasar khas wanita Johor tangani LGBTQ akan diperkenal

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor akan memperkenalkan dasar khas wanita Johor bagi menangani isu lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) dalam kalangan masyarakat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, dasar tersebut sedang dirangka bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail.

"Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut terbabit merangka modul itu yang akan merangkumi aspek pendidikan keluarga, undang-undang serta penguatkuasaan membabitkan wanita, keluarga dan masyarakat.

"Budaya LGBTQ ini bukan sahaja jadi kebimbangan kerajaan negeri malah ia mudah jadi ikutan atas pelbagai faktor termasuk pendedahan dari usia muda dan rakan sebaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Kaunseling Islam 'Pelangi Islam' di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Nooh Gadut dan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Johor, Puan Sri Dr Noor Azizah Abdul Latif.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kesan tindakan Singapura yang akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki, Mohd Fared berkata, setiap negara mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani isu LGBTQ.

"Singapura mempunyai cara mereka dan Johor sebagai negeri Islam juga mempunyai kaedah tersendiri bagi menangani isu LGBTQ.

Artikel Berkaitan:

"Singapura mengamalkan hak asasi lebih luas berbanding kita namun kita mempunyai acuan sendiri dalam menjaga rakyat termasuk dari terpengaruh unsur LGBTQ," katanya.

Sebelum itu, media melaporkan Singapura akan memansuhkan undang-undang yang melarang hubungan seks sejenis, sekali gus mengiktiraf kedudukan golongan homoseksual di negara itu.

Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Ahad.