'Kami bukan dibayar' - Penyokong Najib

Penyokong Najib bertemu bekas Perdana Menteri itu di pekarangan luar Istana Kehakiman pada Selasa.
Penyokong Najib bertemu bekas Perdana Menteri itu di pekarangan luar Istana Kehakiman pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - "Kami bukan dibayar," demikian reaksi beberapa penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pengamal media di pekarangan Istana Kehakiman di sini pada Selasa.

Seorang individu dipercayai salah seorang penyokong bekas Perdana Menteri itu secara tiba-tiba menempelak beberapa pengamal media mendakwa laporan yang dikeluarkan media tempatan tidak tepat.

"Saya kesal dengan laporan media mendakwa kami semua yang datang ke sini dibayar, walhal satu sen kami tidak terima, apa yang kami lakukan ini adalah kerelaan kami sendiri dan bukannya atas dorongan sesiapa.

"Jangan laporkan berita yang tak tepat seperti ini, bagaimana rakyat nak percaya kalau sebegini berita yang dilaporkan," katanya kepada beberapa pengamal media di sini.

Keadaan sedikit tegang apabila penyokong Najib mendakwa berita yang dikeluarkan media tempatan tidak tepat namun berjaya ditenangkan dan diberikan penerangan mengenai peranan media sebenarnya.
Keadaan sedikit tegang apabila penyokong Najib mendakwa berita yang dikeluarkan media tempatan tidak tepat namun berjaya ditenangkan dan diberikan penerangan mengenai peranan media sebenarnya.

Suasana yang tegang pada mulanya kemudian berjaya ditenangkan apabila terdapat pengamal media menerangkan situasi sebenar.

Seorang lelaki dipercayai daripada sebuah agensi media tempatan tampil dan menerangkan perkara sebenar kepada individu berkenaan.

"Kami semua adalah daripada media yang berdaftar dan sah, dan laporan kami tepat dan sahih daripada sumber yang sah.

"Namun, harus diingat dalam arus masa kini, sesiapa sahaja boleh guna media sosial, dan kadangkala ini yang disalah tarif oleh masyarakat," katanya.

Antara penyokong Najib yang hadir di pekarangan luar Istana Kehakiman pada Selasa.
Antara penyokong Najib yang hadir di pekarangan luar Istana Kehakiman pada Selasa.

Najib sebelum itu datang menemui para penyokongnya dan meminta mendoakan perjalanan kesnya berjalan lancar.

Kedatangan bekas Perdana Menteri itu disambut dengan tangisan penyokong yang datang sejak awal pagi tadi bagi memberikan sokongan.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan dijangka membuat keputusan berkaitan kes rayuan Najib berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International.