Derma darah kali ke-102 sempena kemerdekaan

Muhammad Nasir (tengah) ketika menderma darah.
Muhammad Nasir (tengah) ketika menderma darah.
A
A
A

MACHANG - Seorang bekas tentera yang sudah 32 tahun tamat perkhidmatan masih lagi mahu berbakti kepada rakyat menerusi menderma darah buat kali yang ke-102 sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65.

Bahkan, bekas tentera tidak berpencen itu, Muhammad Nasir Mustapha, 63, mempamerkan semangat patriotik yang mendalam terhadap negara dengan hadir menaiki van yang dikibarkan dengan Jalur Gemilang ketika datang untuk menderma darah di Dewan Majlis Daerah Machang pada Sabtu lalu.

Menurutnya, pertama kali dia menderma darah pada tahun 1986 dan menjadi amalannya untuk menderma darah pada setiap tahun.

Van milik Muhammad Nasir yang dihiasi Jalur Gemilang.
Van milik Muhammad Nasir yang dihiasi Jalur Gemilang.

Katanya, pada usia yang sudah mencecah takuk warga emas, amalan menderma darah menjadikan tubuh badannya lebih cergas dan sihat.

“Alhamdulillah, ALLAH memberi saya kesihatan yang baik dan tidak ada apa-apa penyakit setakat ini.

“Kali terakhir saya berkhidmat dalam Kompeni Rejimen Sempadan di Lebuh Raya Timur Barat di Batu 37, Gerik, Perak pada tahun 1990 dan kini ingin terus berbakti kepada rakyat serta negara ini melalui cara menderma darah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Muhammad Nasir, amalan menderma darah bermula pada tahun 1986 ketika dia berusia 27 tahun dan setiap kali dia menderma darah akan dicatatkan oleh pihak hospital pada sebuah buku nota kecil berwarna merah serta diberikan sijil penghargaan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasir menerima sijil penghargaan menderma darah kali ke-102.
Muhammad Nasir menerima sijil penghargaan menderma darah kali ke-102.

“Saya tidak mempunyai harta atau wang ringgit untuk didermakan tetapi masih ada darah untuk membantu dengan diberikan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, dia yang mengumpul lebih 3,000 Jalur Gemilang terpakai itu turut mengajak seluruh rakyat di negara ini bersama-sama mengibarkan bendera Malaysia sempena sambutan bulan Kemerdekaan kali ke-65.

Bendera Malaysia yang dikibarkan Muhammad Nasir di rumahnya di Tanah Merah.
Bendera Malaysia yang dikibarkan Muhammad Nasir di rumahnya di Tanah Merah.

“Rakyat sudah makin kurang semangat patriotisme, tidak kibar bendera, kalau nak kibar Jalur Gemilang pun nak kena beri yang percuma.

“Tidak boleh begitu, kibarlah bendera negara sama ada pada kenderaan, rumah atau premis perniagaan tanda kita sayang akan negara ini dan menghargai segala jerit perih pejuangan bangsa Melayu sebelum ini dalam memerdekakan tanah air,” katanya yang tinggal di Batu 11, Tanah Merah.