Isu LCS: Kerajaan digesa laksana tujuh saranan PAC

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi gesa kerajaan untuk melaksanakan saranan yang dibuat oleh PAC Parlimen berhubung skandal LCS. (Gambar kecil: Tricia)
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi gesa kerajaan untuk melaksanakan saranan yang dibuat oleh PAC Parlimen berhubung skandal LCS. (Gambar kecil: Tricia)
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan untuk melaksanakan saranan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Parlimen berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, tujuh saranan telah dikemukakan oleh PAC kepada kerajaan berhubung projek mega milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tersebut.

Menurut beliau, PAC telah menyarankan tujuh langkah yang perlu dilaksanakan termasuk meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan lanjut hasil daripada dapatan laporan PAC, laporan Audit Forensik serta laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Selain itu, katanya, saranan yang dikemukakan oleh PAC adalah Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek tersebut disiapkan.

Sebagai tambahan, beliau berkata, PAC juga telah menyarankan agar laporan JKSTUPKK itu dinyah klasifikasi.

Ini kerana, jelasnya, JKSTUPKK telah ditubuhkan pada tahun 2018 di bawah kerajaan Pakatan Harapan untuk menyiasat tadbir urus, perolehan dan kewangan dalam semua kementerian, diterajui oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

"PAC telah menjalankan tugas Parlimennya dalam memberikan semak dan imbang kepada badan eksekutif kerajaan.

"Oleh itu, pihak kerajaan kini perlu melaksanakan saranan-saranan yang dikemukakan dengan segera bagi menghormati dan mengambil serius berhubung tugas yang dilaksanakan oleh institusi Parlimen itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Rasuah Busters.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tricia berkata, tindakan melaksanakan saranan PAC tersebut lebih tepat berbanding menubuhkan lebih banyak suruhanjaya dan jawatankuasa siasatan.

Apa yang penting, tegasnya, tindakan segera perlu diambil berdasarkan laporan PAC oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang terutama daripada SPRM.

Jelasnya, rakyat Malaysia ingin melihat pihak yang bertanggungjawab di atas pembaziran dan rasuah wang rakyat dikenakan hukuman setimpal.