Bengkel Seri Sembilan usaha projek tanam buah-buahan bantu OKU

Orang kurang upaya (OKU) menyertai pertandingan mewarna sempena program Ceria Merdeka 2022, pada Isnin.
Orang kurang upaya (OKU) menyertai pertandingan mewarna sempena program Ceria Merdeka 2022, pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Pusat latihan dan pekerjaan orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bengkel Seri Sembilan sedang berusaha membangunkan projek tanaman pokok buah-buahan di tanah seluas 2.23 hektar untuk membantu golongan tersebut.

Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim berkata, usaha tersebut merupakan projek jangka panjang dalam usaha membantu menjana pendapatan OKU.

"Projek baharu untuk jangka masa panjang ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian.

"Pihak Jabatan Pertanian telah melihat tapak tanah berkenaan dan kami sedang menunggu hasil kajian bagi mengenal pasti pokok buah bersesuaian untuk ditanam," katanya ketika ditemui selepas Program Ceria Merdeka 2022 yang diadakan di Bengkel Seri Sembilan. pada Isnin.

Menurut Harunarrsheed, jika projek itu berjaya dilaksanakan, ia mampu memberi hasil dalam tempoh antara tujuh dan lapan tahun.

Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim
Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim

Katanya, buat masa ini bengkel berkenaan menyediakan beberapa peluang pekerjaan kepada OKU antaranya melipat sampul surat, menjahit, mengusahakan produk tanaman cendawan dan cili serta menternak ayam.

"Banyak permohonan daripada OKU untuk bekerja di sini, tapi sebelum ini kami terpaksa hadkan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Namun memandangkan keadaan sudah beransur terkawal, kami akan buat pengambilan semula kemungkinan pada bulan Oktober. Sebagai permulaan pengambilan dibuat melibatkan seramai 10 hingga 15 orang sahaja," katanya.

Tambah Harunarrsheed, hanya pemohon yang berkualiti dan mempunyai kesungguhan untuk bekerja akan dipilih.

"Kami akan tolak permohonan jika mendapati ada keluarga yang menghantar anak bekerja di sini hanya untuk melepaskan kesusahan mereka menjaganya di rumah," katanya.