Lulusan GiatMara jana pendapatan lumayan

Jabar Azman (tengah) menyerahkan sijil kepada salah seorang penuntut GiatMara pada Majlis Graduasi GiatMara 2022 Negeri Kedah di Dewan Tunku Anum, di sini, pada Isnin.
Jabar Azman (tengah) menyerahkan sijil kepada salah seorang penuntut GiatMara pada Majlis Graduasi GiatMara 2022 Negeri Kedah di Dewan Tunku Anum, di sini, pada Isnin.
A
A
A

JITRA – GiatMara bukan hanya berjaya melahirkan graduan yang memenuhi permintaan tenaga mahir di pasaran pekerjaan tetapi juga lulusan yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara Malaysia, Datuk Jabar Azman Jaafar berkata, ia dibuktikan apabila ada lulusan GiatMarayang meraih pendapatan sehingga RM 60,000 sebulan.

Beliau berkata, mengikut pengalaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan GiatMara, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh generasi muda ini khasnya setelah mendapat pendidikan atau latihan dari Mara.

“Dalam bidang kerjaya, GiatMara boleh berbangga kerana ada di kalangan pelajar yang berjaya menjadi usahawan dan pekerja berpendapatan tinggi dalam masa 10 tahun selepas menamatkan pengajiannya di GiatMara ini.

“Difahamkan pendapatan bulanan mereka sehingga RM 60,000 dan ada yang memiliki aset semasa dalam nilaian jutaan ringgit,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi GiatMara 2022 Negeri Kedah di Dewan Tunku Anum, di sini, pada Isnin.

Jabar Azman memberitahu, ramai lepasan GiatMara juga berjaya menjalankan perniagaan dalam bidang keusahawanan yang diceburi mereka.

Beliau menjelaskan, Mara melalui GiatMara khasnya telah menyediakan pelbagai peluang latihan kemahiran untuk semua rakyat terutamanya generasi muda.

“Kita juga turut memberi keutamaan kepada lepasan pelatih GiatMara untuk menceburi pelbagai bidang keusahawanan dan banyak peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk membantu anak-anak kita dalam bidang perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin lulusan GiatMara dapat memenuhi permintaan tenaga mahir di pasaran pekerjaan ataupun memulakan bidang keusahawanan secara kecil-kecilan dahulu dengan bekalan ilmu kemahiran yang ada,” katanya.

Beliau mendapati, tahap kebolehpasaran pelatih GiatMara dalam pasaran kerja juga kini mencapai tahap 86 peratus dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun.

“Setiap lapan daripada 10 pelatih GiatMara telah mendapat pekerjaan selepas graduasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jabar Azman menyatakan, GiatMara Kedah kini memiliki 15 buah institusi latihan kemahiran ini di setiap parlimen.

“Walaupun kelihatan kecil bilangannya, tetapi impak yang dibawa kepada masyarakat setempat adalah sangat besar dengan 27,082 pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan di Kedah,” katanya.

Katanya, sehingga kini, GiatMara telah menawarkan program latihan kemahiran yang 'employability' dan 'marketability' dalam lebih daripada 82 kursus dan program di Kedah serta beberapa bidang akan ditambah lagi sesuai dengan pelan strategik pembangunan Kedah 2012-2030.

“GiatMara Malaysia kini telah berusia 36 tahun dengan institusi latihan kemahiran pertama adalah GiatMara Jitra yang kini dikenali sebagai GiatMara Kubang Pasu. Alhamdulillah, GiatMara Kedah masih relevan dan menjadi pilihan utama di kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau mendapati, masih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendaftar diri di GiatMara iaitu kira-kira 84 peratus yang menandakan bahwa rakyat Kedah sedar kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada rakyat.

Sebelum itu, seramai 556 graduan menerima sijil pelbagai kursus pada majlis berlangsung di Kompleks Pentadbiran Kubang Pasu itu.

Difahamkan, seramai 2,588 orang pelatih GiatMara turut telah menerima Sijil Kemahiran di Kedah bagi tahun 2019, 2020 dan 2021.