Duit i-Lestari RM10,000 lesap dari akaun bank

Choon Yip
Choon Yip
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang jurujual kerugian RM10,000 apabila wang yang dikeluarkan dari kemudahan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap dari akaun banknya.

Cheong Choon Yip, 33, berkata, wangnya itu hilang dalam tempoh sehari sebaik sahaja ia dikreditkan ke dalam akaun banknya pada 21 April tahun lalu.

"Wang RM10,000 itu masuk ke akaun bank saya pada 21 April 2021 dan pada hari sama juga ia dipindahkan ke satu akaun yang saya tidak kenali.

"Hasil semakan transaksi, saya dapati akaun bank tidak dikenali itu telah membuat permohonan untuk pengeluaran wang dari akaun saya dan sebaik sahaja wang itu masuk ke akaun saya, ia terus dipindahkan ke akaun orang yang tidak dikenali," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Komunikasi PKR merangkap Penasihat Kumpulan Sokongan Mangsa-Mangsa Penipuan Kewangan Online, Lee Chean Chung dan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Choon Yip berkata, dia membuat semakan transaksi berkenaan pada 25 April 2021 selepas menyedari wang i-Lestarinya tiada di dalam akaun banknya.

Choon Yip (tiga dari kiri) menunjukkan salinan transaksi akaun bank berkaitan wang i-Lestari miliknya dimasukkan ke dalam satu akaun bank yang tidak dikenali.
Choon Yip (tiga dari kiri) menunjukkan salinan transaksi akaun bank berkaitan wang i-Lestari miliknya dimasukkan ke dalam satu akaun bank yang tidak dikenali.

"Saya kemudian membuat laporan kepada bank dan apabila pihak bank menghubungi pemilik akaun tersebut, dia mendakwa saya membeli iPhone dengannya sedangkan saya tidak berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu saya membuat laporan polis pada 26 April tahun sama namun sehingga sekarang kes saya tidak ada apa-apa perkembangan," dakwanya.

Sementara itu, Chean Chung menegaskan, pendedahan kes itu amat mengejutkan kerana pengeluaran simpanan KWSP juga boleh dilesapkan oleh sindiket penipuan kewangan.

"Sebelum ini telah didedahkan bahawa simpanan Tabung Haji juga boleh dikeluarkan oleh penipu yang berjaya memancing maklumat peribadi pencarum. Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM98,900 dan belum lagi menerima apa-apa maklum balas daripada Tabung Haji selepas aduan dibuat.

"Jika tabung simpanan seumur hidup rakyat dalam KWSP untuk tujuan persaraan dan caruman Tabung Haji untuk menunaikan haji juga boleh dilesapkan, apatah lagi simpanan lain dalam bank dan e-dompet," ujarnya.