Kempen Kibarkan Jalur Gemilang makin meriah

Pemasangan bendera pada jengkaut milik MBSA sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.
Pemasangan bendera pada jengkaut milik MBSA sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta badan bukan kerajaan (NGO) memeriahkan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-65 yang diadakan di beberapa lokasi bagi menyemai semangat patriotik dan cintakan negara.

Di Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang Jalur Gemilang di Dataran Shah Alam, Seksyen 14 yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor pada Jumaat.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, sebanyak 64 kenderaan milik MBSA dan pelbagai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR) dan Hospital Pakar dipasang bendera.

"Pemasangan Jalur Gemilang merupakan simbolik kepada Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat MBSA 2022.

"Ia bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan kakitangan MBSA dan juga orang ramai," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Mohd Ajib (dua kanan) melancarkan kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Jawi.
Mohd Ajib (dua kanan) melancarkan kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Jawi.

Di Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut melancarkan kempen sama pada Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Pekerja Contoh Bulanan Warga Jawi yang gimik pelancaran pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi jabatan disempurnakan oleh Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Jawi menerusi kenyataan berkata, pemasangan bendera turut dilaksanakan di Bangunan Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur, masjid dan surau serta Institusi Pendidikan Islam di bawah Jawi, masjid dan surau sekitar Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Altimet memberikan Jalur Gemilang kepada kenderaan awam di Ampang Point pada Sabtu.
Altimet memberikan Jalur Gemilang kepada kenderaan awam di Ampang Point pada Sabtu.

"Jawi turut menganjurkan program forum dan ceramah agama bertemakan kenegaraan sempena Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan solidariti kepada negara.

"Kecintaan kepada negara adalah sebahagian daripada lambang keimanan yang turut dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang," katanya.

Di Ampang, Kelab Permotoran Malayland MG Malaysia telah mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di Ampang Point di sini pada Sabtu.

Edaran tersebut disempurnakan oleh selebriti yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet bersama penaung kelab, Datuk Paduka Mohd Shaharudin dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Daing Muhammad Reduan.