Menyamar pegawai imigresen sebelum samun, rogol

Antara barangan yang dirampas bagi membantu siasatan kes samun dan rogol.
Antara barangan yang dirampas bagi membantu siasatan kes samun dan rogol.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol dua wanita warga Indonesia di Pandai Indah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, dua wanita dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Dua suspek menyamar sebagai pegawai imigresen menaiki sebuah kereta jenis Honda City telah menahan mangsa.

"Kedua-dua suspek itu mahu membuat pemeriksaan pasport dan permit kerja serta meminta kedua-dua wanita itu untuk naik kereta tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua wanita itu kemudian telah dibawa ke kawasan Serdang.

"Semasa dalam perjalanan, suspek telah mengambil barang kemas dan wang tunai milik mangsa.

"Salah seorang daripada wanita itu telah diturunkan di tepi jalan di kawasan Serdang, manakala rakannya dibawa ke sebuah hotel di Balakong dan dirogol di hotel tersebut," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada laporan polis, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun berjaya diberkas pada jam 3 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Asahan, Jasin, Melaka pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas wang tunai, seutas rantai leher dan rantai tangan, kenderaan serta pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian," ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai 18 rekod jenayah dan dadah termasuk tiga rekod dikehendaki bagi kes dadah.

"Suspek berusia 35 tahun pula mempunyai 13 rekod jenayah dan dadah termasuk satu rekod dikehendaki bagi kes dadah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan direman pada Isnin bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.