ACL: Tiba masa Selangor FC ikut jejak JDT

Selangor FC perlu mengubah struktur kejurulatihan dan corak permainan untuk berada dalam kelompok elit bersaing di peringkat ACL. - Foto FB Selangor FC (Gambar kecil: Khalid)
Selangor FC perlu mengubah struktur kejurulatihan dan corak permainan untuk berada dalam kelompok elit bersaing di peringkat ACL. - Foto FB Selangor FC (Gambar kecil: Khalid)
A
A
A

SEMUA kelab bola sepak dalam Liga Malaysia (Liga-M) perlu menanam tekad untuk mengikut jejak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang telah meletakkan satu aras tinggi untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim 2024.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpandangan bahawa Selangor FC berpeluang untuk mengiringi skuad Harimau Selatan beraksi di pentas berprestij Asia itu dalam tempoh dua tahun lagi.

Beliau memilih skuad Gergasi Merah itu berdasarkan kedudukan kewangan yang kukuh dan kemudahan pusat latihan terbaik bagi membentuk pasukan yang mantap serta berkualiti.

Justeru, beliau berharap Selangor FC dapat mengorak langkah segera dengan mengubah struktur kejurulatihan dan pengurusan kelab yang profesional.

"Saya percaya Selangor FC boleh ikut JDT. Tiada yang mustahil. Mereka perlu komited dan bersungguh-sungguh 200 peratus untuk mencapai tahap JDT.

"Blueprint JDT sudah ada, ikut sahaja. Saya tidak bermaksud hanya Selangor FC yang layak, Terengganu FC juga bagus dan boleh ikut langkah JDT.

"Cabaran ini (beraksi di ACL) untuk semua kelab. Sampai bila kita mahu berada di takuk lama. JDT sudah buka jalan, kelab lain perlu ikut. Ia perkara serius dan memerlukan komitmen semua pihak," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, berdasarkan peningkatan mata ranking kelab Asia, Malaysia dijangka memperoleh empat slot ke ACL dengan dua daripada automatik ke peringkat kumpulan, manakala dua lagi akan bersaing di pusingan kelayakan.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna pada musim 2024, dua wakil Malaysia akan terus layak, sementara dua lagi pasukan berpeluang mengikut jejak dua kelab yang sudah layak secara automatik sebelum itu.

Justeru, Khalid juga berharap aksi JDT di pentas Asia membuka mata semua pasukan untuk menambah nilai kelab masing-masing dari pelbagai sudut termasuk kualiti pemain, corak taktikal, fasiliti latihan, bakat-bakat baharu, pengurusan dan kewangan.

“Slot ACL ini satu peluang terbaik buat kelab-kelab di Malaysia. Buat persediaan daripada sekarang dan rancang dengan rapi. Kalah menang adat permainan dan apa yang penting pemain perlu berikan yang terbaik.

“Ini satu motivasi terbaik suntik semangat pengiat bola sepak negara untuk terus meningkatkan mutu permainan, skil individu dan semangat berpasukan yang tinggi," katanya.

Cabaran JDT tersekat di peringkat 16 kelompok pasukan terbaik setelah dikecewakan kelab Jepun, Urawa Red Diamonds dengan jaringan 0-5 di Stadium Saitama pada Jumaat.