Letupan kecil di Pavilion disyaki akibat litar pintas

Beberapa petugas di pusat beli-belah berkenaan memadam api yang tercetus akibat letupan kecil terbabit.
Beberapa petugas di pusat beli-belah berkenaan memadam api yang tercetus akibat letupan kecil terbabit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Letupan kecil yang berlaku di pusat beli-belah Pavilion, petang Ahad dipercayai berpunca akibat litar pintas.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan daripada pusat beli-belah berkenaan berhubung kejadian itu.

"Kita sudah menghubungi pihak pengurusan bangunan pusat beli-belah itu dan dimaklumkan kejadian letupan itu membabitkan pendawaian dipercayai akibat litar pintas.

"Kejadian kira-kira jam 6 petang itu berjaya dikendalikan oleh pihak pengurusan bangunan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Pada Ahad, satu video berdurasi dua minit 30 saat menunjukkan berlaku letupan kecil di pusat beli belah itu yang tular di media sosial.

Dalam video berkenaan memaparkan beberapa petugas di pusat beli-belah berkenaan memadam api yang tercetus akibat letupan kecil terbabit.